Nama dipetik netizen, Mia Sara Nasuha tak goyang

BUKAN kerana terikut-ikut trend sebaliknya atas kehendak sendiri pelakon comel Mia Sara Nasuha Muhammad nekad berhijab.

Keputusan itu dibuat ketika dia berusia 12 tahun dan masih istiqamah hingga ke hari ini.

Bagaimanapun, apabila beberapa artis mengambil keputusan tidak lagi bertudung, Mia yang kini berusia 18 tahun tidak terkecuali menjadi ‘sasaran’ netizen.

“Melihat keputusan artis berhijab kembali membuka tudung, nama saya juga tidak terkecuali disebut-sebut netizen bakal mengikut jejak langkah artis seterusnya yang akan menanggalkan hijab.

“Pelik sebenarnya apabila nama saya turut ‘dipetik’ apabila timbul isu artis buka tudung. Pada masa sama, sebenarnya takut juga jika hal sebegitu terjadi (tanggal hijab). Bila nama saya disebut-sebut, saya jadi rimas,” kata Mia .

Tambah pelakon yang memulakan kerjaya seninya menerusi drama Adamaya itu lagi, netizen mengandaikan dirinya bakal menanggalkan hijab susulan sebelum ini pernah beberapa kali menjadi sasaran kecaman netizen gara-gara aksi menari sakan dalam media sosial.

Enggan menjadikan kritikan tersebut sebagai masalah besar, Mia cuma melakukan perkara yang disukai asalkan tidak keterlaluan.

“Berkenaan teguran yang saya dapat dalam TikTok, saya cuma ikut trend dan buat apa yang saya suka (menari).

“Lama-lama saya sedar, orang tetap akan mengata walaupun saya buat perkara yang orang lain suka. Tetapi tidaklah melebih-lebih.

“Pengaruh dalam media sosial juga memang menakutkan. Ada sahaja yang tidak kena. Apa-apapun, pucuk pangkal tanya diri sendiri,” katanya.

Baca artikel penuh menerusi akhbar Kosmo! atau layari https://kosmo.com.my.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok