Menyanyi ‘ ke laut’, tekak rasa seperti diikat – Adira Suhaimi 

SELEPAS terkena jangkitan virus Influenza kira-kira dua bulan lalu, penyanyi Adira Suhaimi mengalami gangguan vokal sehingga sukar menyanyikan lagu bernada tinggi.

Bercakap kepada HibGlam, Adira atau nama lengkapnya Siti Adira Suhaimi berkata, kesan dirasai kali ini lebih teruk berbanding dijangkiti Covid-19.

“Sekitar dua bulan lalu saya terkena jangkitan Influenza. Kesannya lebih teruk daripada Covid-19.

“Kalau saya menyanyi, memang ‘ke laut’. Rasa tekak seperti diikat,” ujarnya.

Enggan masalah itu berlarutan, Adira melakukan aktiviti yoga bagi memperbaiki pernafasannya.

“Untuk dapatkan semula suara, saya melakukan yoga untuk untuk membantu pernafasan. Alhamdulillah, keadaan saya kini semakin pulih,” ujarnya.

Dalam pada itu, penyanyi berusia 32 tahun itu tidak menolak perubahan pada vokalnya mungkin bermula selepas melahirkan empat cahaya mata selain faktor usia.

“Selepas bersalin empat kali secara pembedahan, vokal saya juga mengalami masalah. Selain itu mungkin disebabkan  faktor usia.

“Dek kerana itu, saya menghadiri kelas vokal bagi memastikan boleh menyanyi seperti dahulu,” katanya yang telah pun mengikat peranakan selepas melahirkan anak kempat pada 29 September 2022.

Ditanya sama ada dia menyesal memutuskan untuk ‘tutup kilang’, Adira berkata dikurniakan empat zuriat sudah cukup membuatkan dirinya bahagia.

Tambahan pula, dia mahu kesemua anak-anaknya membesar bersama tanpa ada jurang berbezaan usia yang jauh.

“Alhamdulillah, saya sudah ada dua anak perempuan dan dua lelaki. Cukuplah setakat ini.

“Saya tidak mahu apabila anak-anak sudah besar, tiba-tiba mereka ada adik baharu. Biarlah mereka membesar bersama-sama,” jelasnya.

Pada masa sama, Adira yang ditemui ketika sidang media pelancaran single duet bersama Khai Bahar, berjudul Pejam, keputusan untuk tidak hamil lagi dibuat atas nasihat doktor dan suaminya, Datuk Seri Adnan Abu atau Datuk Red.

Untuk rekod, Adira bernikah dengan Datuk Red yang juga seorang ahli perniagaan pada 3 Disember 2015 di Songkhla, Thailand.

Hasil perkahwinan itu, Adira dan suami dikurniakan empat cahaya mata, Anggrek, 6, Asan, 5, Anggun, 4 dan Ayub yang kini berusia setahun. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok