SUAMI Allahyarham Mek Habsah, Rahamis Hamid mendedahkan artis era 80-an itu pernah memuntahkan serpihan kaca dan gumpalan rambut ketika menjalani rawatan dengan pengamal perubatan Islam ketika berusia 45 tahun.
Kata pesara polis itu, biarpun tidak mempercayai santau atau gangguan mistik sebagai punca penyanyi, pelawak dan pelakon itu sakit, mereka tetap mendapatkan pandangan bijak pandai agama, selain ke hospital.
“Isteri saya mula sakit ketika umur 40-an tahun. Sebelum mencari rawatan alternatif dia buat pemeriksaan kesihatan terlebih dahulu di hospital bagi mengesan penyakit yang menyerangnya.
“Ketika itu tiada tanda-tanda sakit kronik yang mendorong saya membawanya berubat dengan seorang tokoh agama. Di situlah dia muntah benda berbisa seperti kaca dan rambut.
“Banyak tempat kami berubat sampai ke Kedah, hinggalah beberapa tahun kemudian doktor sahkan isteri saya diserang penyakit tibi yang memerlukan ubat serta rawatan berkala.
“Sebagai umat Islam, kami enggan percaya kepada perkara mistik, tetapi tetap menjalani kedua-dua rawatan memandangkan keadaan kesihatannya yang tidak menentu,” katanya kepada HibGlam.
Menurut Rahamis, 72, biarpun berdepan penyakit yang mengakibatkan paru-parunya rosak, Allahyarham tetap positif dan optimis menempuh kehidupan.
“Separuh abad kami hidup bersama dan sepanjang tempoh itu saya melihatnya sebagai insan yang berhati mulia, suka berkawan, menjaga perasaan dan suka menggembirakan orang sekeliling.
“Apabila diduga penyakit dan gangguan misteri, tidak sekali pun isteri saya mengeluh, sebaliknya dugaan ini mendekatkannya dengan Allah apabila ligat ke majlis agama biarpun membawa tangki oksigen,” katanya.
Mek Habsah atau nama sebenarnya Habshah Bakar, 67, menghembuskan nafas terakhir di Institut Perubatan Respiratori (IPR) Kuala Lumpur, akibat penyakit paru-paru kronik, pukul 2.45 pagi tadi.
Tahap kesihatan Allahyarham yang dimasukkan ke hospital sejak 12 Julai semakin teruk tiga hari lalu apabila doktor memaklumkan kondisi paru-parunya lemah.
Arwah yang meninggalkan suami, dua anak dan 10 cucu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah Taman Selasih Fasa 2, Kuala Lumpur, pukul 2.30 petang tadi. – HIBGLAM