Megat Shahrizal bukan hero klise

PEMIKIRAN ‘kolot’ watak hero mesti dipegang pelakon berwajah kacah, bertubuh tegap sudah mula diketepikan penggiat seni tanah air dan kiat terbukti apabila kian ramai pengarah memilih pelakon yang fizikalnya melawan normalisasi watak hero klise.

Itu yang dipamerkan oleh pengarah Areel Abu Bakar apabila memilih Megat Shahrizal sebagai tunjang utama filem Walid yang baru sahaja ditayangkan di pawagam bermula 14 September lalu.

Pada awalnya, Megat mengakui tidak percaya diberi kepercayaan untuk bergelar hero apatah lagi peluang sebegitu jarang diraih oleh individu berbadan gempal sepertinya.

“Saya anggap peluang memegang watak utama ini sebagai tanggungjawab besar sebagai pelakon.

“Jika hendak cakap tekanan, setiap watak akan beri rasa yang sama cumanya sebagai hero, tanggungjawab itu lebih berat,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

Mahu membuktikan kemampuan diri, itu berulang kali terbit daripadanya yang pernah membintangi filem Geran sebelum ini.

Katanya, pemilihan pemegang watak hero dalam industri perfileman tanah air hari ini seharusnya sudah mula berubah seperti realiti yang banyak dipratikkan di negara-negara luar iaitu tidak bergantung kepada rupa paras semata-mata.

“Bukanlah hendak bermegah atau menjadi pelakon hidung tinggi tetapi ibarat mesej ringkas kepada pengarah dan penerbit.

“Saya nak cakap dengan semua pengarah filem aksi seperti Syamsul Yusof dan Adrian Teh, cukup-cukuplah dengan abang-abang berbadan kekar semua itu.

“Ini bukan kritikan tetapi sekadar perkongsian,” ujar pemilik nama penuh Megat Sharizal Mohamed Yusoff itu.

Jelasnya, pemilihan pelakon terutama watak hero perlulah dilihat lebih realistik bagi sesetengah naskhah.

Kepelbagaian dalam karakter perlu ada dan usah tersekat dengan satu konsep idea yang sama berulang kali.

“Para pengarah perlu memandang secara realiti dan individu yang berbadan besar seperti kami ini yang selalunya jadi hero dalam sesetengah situasi.

“Bawa kepelbagaian dalam setiap karakter. Tak bermakna sudah berusia dan gemuk tak boleh jadi pelakon
aksi dan sudah ada yang membuktikan pun.

“Jadi, berilah peluang kepada mereka yang seangkatan dengan saya untuk tonjolkan potensi yang dimiliki,” katanya yang sebelum ini sering memegang peranan komedi.

Baca artikel penuh menerusi akhbar Kosmo! atau layari https://kosmo.com.my.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok