Mamu menang! Sharnaaz kalahkan ulat nombor plat 

TEGURAN pelakon, Sharnaaz Ahmad terhadap kelemahan sistem bidaan nombor plat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), JPJeBid berhasil apabila berjaya memenangi bidaan nombor diinginkan.

Aktor berusia 38 tahun itu bersyukur dapat menundukkan ‘scalper’ atau ulat yang mendominasi bidaan sehingga mampu membeli nombor secara pukal seterusnya meraih untung atas angin dengan menjual semula pada harga tinggi.

“Seperti yang dijanjikan saya telah dapat keputusan (bidaan). Alhamdulillah, kita menang. Saya dah dapat, saya menang!

“Hari ini saya telah buktikan sebenarnya saya menang lawan ‘scalper’,” katanya menerusi perkongsian video dalam Instagram.

Menurut pelakon Polis Evo 3 itu, kemenangan itu berkat doa pengikut laman sosialnya yang mengikuti siaran langsungnya di platform tersebut.

“Syukur berjaya walaupun tak mandi. Hari ini saya buktikan menang lawan scalper berkat doa semua semalam yang tengok ‘live’ semalam. Kita lawan sama-sama,” luahnya.

Menitipkan pesanan, Sharnaaz berharap perbuatan pihak yang suka mengambil kesempatan dapat dikekang bagi memberi keadilan kepada semua.

Aktor yang lantang bersuara itu turut menunjukkan bukti nombor plat yang pada awalnya dibida sekitar RM20,000 dijual sehingga RM50,000.

“Saya tidak boleh terima lagi benda ini. Nombor plat M**M hampir RM50,000, saya berani jamin paling tinggi dia bida RM20,000 sahaja, (tapi) dia untung RM30,000.

“Mungkin dia nak cari makan. Kita faham semua manusia cari makan tapi orang kata berpada-padalah. Kita bukan nak cari gaduh dengan ‘scalper’ atau JPJ, kita cuma mahu keadilan,” luahnya.

Semalam, Sharnaaz meluahkan kekecewaan terhadap sistem bidaan nombor plat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang disifatkan kurang efisien dan menyusahkan pengguna.

Aktor berkenaan juga berang dengan tindakan ulat yang membeli nombor bidaan secara pukal dan kemudian menjualnya semula dengan harga tinggi. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok