MUNCUL dengan buah tangan terbaharu berjudul, Luruhnya Bunga Cinta yang sudahpun menemui penonton sejak 19 September lalu, nama Redza Rosli sekali lagi menguntum di bibir pengikut setianya.
Mengulas pembabitannya dalam karya adaptasi siri popular Korea Selatan, Autumn In My Heart itu, Redza mengakui resah memikirkan jangkaun tinggi peminat yang telah menyaksikan drama berkenaan.
“Sikit sebanyak memang ada tekanan kerana orang bagi jangkauan tinggi memandangkan drama ini adaptasi naskhah popular Korea Selatan.
“Saya menggalas tanggungjawab untuk menjadikan karya berkenaan lebih ‘Melayu’.
“Terfikir juga kenapa saya dipilih sebagai hero dalam drama ini, tetapi siapa saya hendak menolak rezeki Allah dan saya hargai apa yang datang,” tuturnya.
Sebagai persediaan berdepan mulut netizen, anak jati Selangor itu mengambil pendekatan berlapang dada menerima komen-komen negatif mengenai watak lakonannya sebagai Nuh dalam siri berkenaan.
Katanya, menerusi naskhah asal, watak hero iaitu Yun Jun-seo hero dilakonkan Song Seung-heon.
“Mustahil sebagai orang Melayu tulen untuk ikut budaya Korea. Nama pun adaptasi bukannya tiru balik.
“Netizen berhak cakap apa-apa. Macam saya, ambil sahaja benda negatif sebab ada kalanya boleh jadi positif.
“Mungkin ada kesilapan saya sebelum ini terlepas pandang. Apa yang orang cakap terima dengan hati terbuka,” luahnya.
Digandingkan dengan pelakon baharu seperti Tracie Sinidol, Bella Luna, Suni Yusri dan Aniq Durar, Redza yang sudah 15 tahun mencanai bakat sebagai aktor tidak lokek berkongsi ilmu.
“Semasa mula-mula bersetuju berada dalam drama ini, memang saya sudah bersedia dalam apa juga situasi termasuk memberi tunjuk ajar kepada Tracie.
“Saya bukan hendak memudahkan kerja dia tetapi hanya niat untuk tolong mereka mencipta nama.
“Kita pun mahu berikan yang terbaik dalam sesebuah naskhah untuk kepuasan diri dan mereka yang menonton,” katanya.
Drama bersiri 20 episod arahan Muhamad Riza Baharuddin itu ditayangkan setiap hari Isnin hingga Jumaat pada pukul 7 malam menerusi slot Akasia dan pestriman IQiYi satu jam selepas siaran TV3.
Baca artikel penuh menerusi akhbar Kosmo! atau layari https://kosmo.com.my