PENYANYI, Lah Ahmad gagal menahan air mata mengenang neneknya, Meriam Ahmad yang menghembuskan nafas terakhir pada usia 102 tahun, pagi semalam.
Begitupun, anggota kumpulan VE itu lega dapat berbakti kepada insan yang menjaganya sejak kecil apabila berpeluang menguruskan pengembumian sehingga mengimamkan solat jenazah.
“Selepas ayah meninggal dunia, Mak Tok (nenek) tinggal dengan kami sekeluarga sejak saya berusia tiga tahun sekali gus menjadi saksi jatuh bangun saya sebagai insan serta anak seni.
“Dia banyak mengajar saya mengenai kehidupan terutama untuk menjadi individu yang baik, mengajar mengaji, sehingga menjaga tertib dalam ibadah solat.
“Sepanjang bersama kami, saya tak pernah sekalipun dimarahi, malah pernah dia tengok saya pakai seluar jeans koyak, terus saja dia buang tanpa soal siasat atau naik suara.
“Kami kehilangan insan paling penting yang merupakan satu-satunya orang tua terakhir dalam keluarga,” katanya pada sidang media Konsert Lah Ahmad Jatuh Cinta, hari ini.
Menurut Lah atau nama sebenarnya Abdullah Ahmad, 43, mereka sekeluarga sudah bersedia berdepan sebarang kemungkinan apabila keadaan neneknya semakin lemah.
Katanya, kebelakangan ini arwah menunjukkan beberapa petanda yang seakan-akan memberi bayangan keadaan dirinya.
“Kami reda dengan ketentuan Allah yang lebih menyayanginya. Saya sempat bertemu Mak Tok malam sebelum dia pergi, cuma pagi semalam ketika sampai di rumah mak, Mak Tok sudah pergi dulu.
“Setiap hari memang saya cuba memperuntukan masa melayani Mak Tok walau sekejap, dapat suapkan air pun cukup sebab ketika hayatnya dia suka tanya kami makan atau tidak lagi.
“Apabila mak maklumkan Mak Tok menunjukkan perubahan, saya pilih pakai baju sopan, bukan baju band Metallica supaya sentiasa bersedia jadi imam untuk Mak Tok.
“Saya memang dah lama berniat nak mengimamkan solat jenazah Mak Tok. Ini bakti terakhir saya untuk insan saya sayang,” kata Lah yang masih terkenang kebaikan neneknya.
Menurut penyanyi Kerana Sayang itu, banyak pesanan nenek terpahat utuh di hati termasuklah sentiasa bercakap perkara baik, kawal tingkah laku dan menjaga solat.
Malah katanya, arwah neneknya itu kerap mengingatkan anak cucu agar menjaga ukhuwah sesama keluarga.
Sementara itu, mengenai Konsert Jatuh Cinta yang dijadual berlangsung pada 7 Oktober depan, Lah berkata, dia bakal mengalunkan lebih 20 lagu yang turut diiringi Orkestra Simfoni Universiti Malaya.
Mengakui teruja menyambut tawaran Rubbertapper Production House, beraksi di gelanggang gah Istana Budaya satu peluang keemasan untuknya mempertaruhkan deretan lagu sendiri serta seleksi saduran popular.
“Awal tahun lalu saya pernah tampil dengan konsert solo namun kali ini kapasitinya lebih besar dan dijangka sarat dengan kejutan.
“Jadi, saya harap kesempatan ini dapat memuaskan peminat yang memberikan sepenuh sokongan sepanjang karier saya,” katanya. – HIBGLAM