[VIDEO] Kesilapan teknikal Bintang Kecil 2023, Suhaimi Sulaiman mohon maaf

SUSULAN kontroversi Bintang Kecil 2023, Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia, Datuk Suhaimi Sulaiman menzahirkan permohonan maaf secara terbuka kepada juara, Kiki dan pemenang tempat kedua, Farha.

Katanya, kesilapan teknikal ketika pengumuman keputusan berlaku disebabkan format lampu yang sepatutnya disuluhkan kepada juara Bintang Kecil 2023, namun situasi sebaliknya terjadi.

“Video ini saya tujukan khas kepada adik Kiki dan Farha iaitu pemenang tempat pertama dan kedua Bintang Kecil 2023 yang berlangsung malam semalam.

“Saya tahu perasan Kiki dan Farha tertekan kerana format kita lampu akan menyala kepada peserta yang menang. Kiki memenangi pertandingan semalam tetapi lampu itu ditujukan dan menyala atas Farha.

“Jadi, saya minta maaf bagi pihak RTM dan akhirnya kita selesai pertandingan itu,” katanya menerusi hantaran video dalam Instagram.

Menurut Suhaimi lagi, Azam Pitt selaku pengacara yang bergandingan dengan Sweet Qismina sudah berusaha menyelamatkan keadaan namun tidak berjaya.

“Azam sebagai pengacara cuba membetulkan keadaan tapi agak terlambat sebab lampu itu bergerak hingga tersekat sekali gus memberi tekanan kepada semua.

“Saya pun yang berada di atas pentas pada waktu tersebut dapat rasakan tekanan itu. Saya mendoakan kejayaan Kiki dan Farha,” katanya.

Sejak malam semalam tular video pertandingan Bintang Kecil 2023 yang diadakan secara langsung di Arena Gemilang, DeTAR Putra, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Kota Samarahan, Sarawak.

Bukan hanya kekeliruan membabitkan juara dan tempat ketua disebabkan lampu sorot, malam penuh bersejarah itu turut dikejutkan dengan pemilihan ayat kurang sesuai apabila menyatakan kesilapan hanya gimik normal.

Begitupun, Sweet Qismina  dalam  maklum balas kepada HibGlam turut meminta maaf atas kekhilafan yang berlaku semasa cuba menyelamatkan keadaan ketika itu.

Pertandingan akhir Bintang Kecil 2023 yang disiarkan secara langsung di TV2 dan menerusi saluran penstriman menyaksikan lapan finalis bersaing merebut gelaran juara selain hadiah wang tunai RM20,000 untuk pemenang utama dan RM15,000 untuk naib juara – HIGLAM

 

View this post on Instagram

 

A post shared by HIBGLAM (@hibglam.com.my)

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok