Kes tutup! Ahirine tak mahu bermasam muka 

“Saya tak mahu bermasam muka, kita pun nak kerja lama dalam bidang ini. Kes tutup!”

Itu pendirian pelakon Ahirine Ahirudin  yang menganggap isu gambar disifatkan rakan gandingannya, Aedy Ashraf sebagai kontroversi sudah selesai sebaik foto tersebut dipadamkan dari Instagramnya.

Aktres berusia 27 tahun menegaskan tiada niat mencetuskan sensasi mahu pun ‘publicity stunt’ seperti didakwa pihak terbabit, sebaliknya hanya mempromosikan filem lakonan seperti dilakukan sebelum ini.

“Saya tiada masalah pun untuk memadam foto daripada babak filem Tebus itu jika dia tak berkenan. Boleh sahaja terus hubungi saya sebab kami pun kawan dan kerja dalam produksi sama.

“Apabila dia suarakan secara terbuka tak bagi kebenaran dan tidak pernah bersetuju gambar itu jadi bahan promosi, saya telefon dia untuk bagi penjelasan agar tiada konflik di kemudian hari.

“Dalam bekerja saya profesional, begitu juga apabila berkawan. Saya tak mahu bermasam muka, kita pun nak kerja lama dalam bidang ini. Kes tutup,” katanya kepada HibGlam.

Enggan niat baiknya mempromosikan Tebus dijadikan isu, Ahirine turut menjelaskan semua hantaran membabitkan karya itu adalah berpandukan gambar serta klip video pihak produksi.

Bagi pelakon berjiwa lasak itu, situasi terbabit bagaimanapun tidak menjejaskan persabatan dengan Aedy, malah dia sedia bekerjasama lagi pada masa akan datang sekiranya ada rezeki.

“Industri hiburan kita tak sebesar mana, pusing-pusing kita jumpa orang yang sama. Cukup kita raikan ketenangan dan hargai persahabatan.

“Siapa yang pernah bekerja dengan saya tahu saya jenis macam mana, ‘happy go lucky’ serta tak suka ambil peduli perkara remeh yang boleh mengganggu fokus,” tambahnya.

Filem arahan Jason Chong yang menyaksikan Ahirine dan Aedy sebagai teraju utama itu disiarkan di saluran penstriman over the top (OTT) Amerika Syarikat (AS), Prime Video sejak 31 Ogos lalu.

Terdahulu, Prodigee Asia Talent selaku syarikat pengurusan di bawah WebTVAsia yang mengendalikan kerjaya Ahirine membuat kenyataan rasmi berhubung hantaran gambar dilakukan artis mereka.

Menurut kenyataan berkenaan, foto membabitkan kedua-dua pelakon terbabit telah dipadam demi menghormati pihak tertentu selain enggan kontroversi berpanjangan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok