Sama-sama pernah dipenjara.”
Demikian kapsyen ringkas yang ditulis penyanyi dan komposer terkenal Indonesia, Ahmad Dhani ketika memuat naik foto bersama Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Instagram miliknya.
Dalam hantaran tersebut, kelihatan Ahmad Dhani atau nama lengkapnya Dhani Ahmad Prasetyo, 51, berjabat tangan dengan Perdana Menteri berusia 76 tahun itu pada majlis Temu Anwar yang diadakan di Jakarta, Indonesia, semalam.
Anwar yang kelihatan segak mengenakan baju bercorak batik berwarna hijau, dilihat tersenyum ketika bergambar bersama suami kepada penyanyi, Mulan Jameela yang bertindak sebagai pengacara dalam majlis tersebut.
Selain tumpuan diberikan kepada pertemuan kedua-dua figura itu, netizen turut tertarik dengan kapsyen yang dikongsikan Ahmad Dhani sehingga dihujani dengan pelbagai komen daripada masyarakat.
Malah, penyanyi Noh Salleh sempat bergurau apabila memberikan cadangan agar kedua-dua individu itu diberi nama ‘kumpulan’ The Cellmate (rakan penjara).
Rata-rata netizen menyifatkan Ahmad Dhani dan Anwar sebagai individu hebat yang pernah dipenjarakan, namun bangkit kembali.
“Ahmad Dhani dan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Sama-sama orang hebat yang pernah dipenjarakan, tetapi bangkit kembali,” ujar seorang netizen.
“Sama-sama pernah menjadi korban politik,” kata seorang lagi pengguna Instagram.
Malah, ada juga netizen berharap agar vokalis kumpulan Dewa19 itu menjadi Presiden di negara republik itu suatu hari nanti.
“Semoga Ahmad Dhani menjadi calon Presiden republik Indonesia . Amin,” kata seorang pengguna Instagram.
Terdahulu, Temu Anwar merupakan sebuah program dialog bersiri yang diadakan khusus bagi memberi peluang kepada sesiapa sahaja terutama anak muda bertanyakan soalan secara terus kepada Anwar dan telah pun dijalankan di beberapa buah negeri di Malaysia.
Manakala Temu Anwar Jakarta pula merupakan program yang dianjurkan ketika rangka lawatan Perdana Menteri menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-43 yang berlangsung bermula semalam (Selasa), sehingga esok (Khamis).
Sekadar info, Ahmad Dhani telah ditahan dan dipenjarakan selama 18 bulan di Cipinang, Jakarta Timur selepas didapati bersalah menyebarkan mesej berbaur kebencian dalam tiga kenyataan dalam Twitter (X) pada tahun 2019. – HIBGLAM