PELAKON, Mimi Lana mencuri perhatian ramai apabila memuat naik hantaran berbaur kecewa terhadap pihak yang sengaja menambah beban masalah yang ditanggungnya.
Aktres cantik itu meluahkan perkara itu dalam aplikasi X (Twitter) yang difahamkan merujuk khabar angin mengenai seorang pelakon wanita popular bercium dengan aktor meningkat naik di sebuah kelab malam baru-baru ini.
Meskipun tidak menyatakan sebab secara terperinci perkongsian tersebut dimuat naik, Mimi, 27, berkata dia tidak pernah menganggu kehidupan orang lain setakat ini.
“Terima kasih timbulkan satu lagi masalah.”
“Saya tak pernah kacau hidup orang apatah lagi menyakitkan hati individu lain.
“Terima kasih kerana awak telah menimbulkan satu lagi masalah ketika saya sedang menghadapi ujian yang sangat berat di dalam hidup ketika ini,” jelasnya.
Menerusi perkongsian sama, bintang filem Pusaka itu juga menegaskan jangan sesekali memandang remeh terhadap pendiriannya yang selama ini mengunci mulut mengenai beberapa isu berkaitan dirinya.
“Namun, jangan pandang rendah terhadap kesenyapan saya,” ujar pemilik nama penuh Mimi Rozaiana Zainal Abidin itu.
Sementara itu, kebanyakaan netizen turut menitipkan kata-kata semangat buat aktres tersebut.
“Sabarlah Mimi.
“Kami sayang Mimi, abaikan semua kata-kata negatif,” komen netizen.
Sejak semalam, nama Mimi menjadi bualan ramai apabila dia didakwa bercumbu dengan seorang jejaka dalam kelab malam.
Perkara tersebut mula tular dalam media sosial selepas sebuah portal hiburan memuat naik gosip tersebut meskipun tidak menyebut nama mana-mana pihak.
Terdahulu pada 13 Ogos, Mimi mengejutkan ramai pihak apabila mengambil keputusan dengan membatalkan majlis pernikahannya dengan pelakon, Syafiq Kyle yang sepatutnya berlangsung pada 18 Ogos di sebuah pusat peranginan tanah tinggi di Pahang.
Sehingga hari ini, Mimi mahupun Syafiq tidak mendedahkan mengapa pernikahan mereka dibatalkan pada saat akhir. – HIBGLAM