Itu berita palsu, Raymond Goh stabil – Ras Adiba

PETALING JAYA – “Jangan sebarkan berita palsu, Raymond Goh stabil dan masih dirawat di hospital”.

Demikian peringatan bekas penyampai berita TV3, Datuk Ras Adiba Radzi mengenai penularan khabar tidak benar berkenaan ikon penyiaran, Raymond atau nama Islamnya, Mohd. Zaman Goh yang didakwa sudah meninggal dunia semalam.

Kata bekas Senator itu, sebarang maklum balas perlu diperoleh daripada sumber sahih seperti ahli keluarga terdekatnya bagi mengelakkan berita palsu tersebar.

“Ahli keluarga terdekat Raymond sentiasa memaklumkan sebarang perkembangan terkini dan tentu saja mereka pelik khabar seperti itu tular.

“Raymond masih dirawat di hospital dan sebagai rakan saya hanya mampu mendoakan beliau terus kuat dan diberi kesembuhan segera.

“Bagi saya, dalam tempoh sukar begini kita patut beri ruang kepada isteri dan anak-anaknya berbanding mencetuskan sebarang spekulasi,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online.

Menurutnya, pasukan Nigthline TV3 juga turut bergilir di hospital bagi memantau keadaan Raymond sejak dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).

Pada masa sama, katanya, penganjuran bacaan Yasin secara dalam talian turut diadakan malam tadi disertai ramai rakan terdekat, selain anak-anak tahfiz.

“Alhamdulillah, acara malam tadi dapat mengumpulkan ramai kawan-kawan termasuk otai-otai yang pernah bekerja sebumbung dengan Raymond semasa di Sri Pentas, TV3.

 

“Ini yang dapat kami lakukan semoga doa kita semua diangkat. Moga keluarga Raymond juga terus diberi kekuatan melalui ujian ini,” katanya.

Personaliti popular yang juga aktivis masyarakat itu semalam turut memohon doa orang ramai menerusi Instagramnya.

“Kami tidak akan berhenti berdoa. Kuatkan semangatmu Raymond. Kami tahu kamu mampu mendengar suara-suara kami.

“Ketahuilah bahawa rakyat Malaysia mendoakanmu. Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, Tuhan sekalian alam, kami pohon engkau kejutkanlah sahabat kami ini dari lenanya.

Kami pohon padamu, Tuhan Yang Maha Esa. Hanya padaMu, kami berserah,” katanya dalam hantaran tersebut.

Terdahulu, Raymond dilaporkan berada dalam keadaan kritikal selepas diserang angin ahmar pada Rabu minggu lalu.

Raymond kini masih menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Assunta Petaling Jaya, sejak 30 Ogos lalu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok