DUA hari Litar Antarabangsa Sepang penuh dengan ‘lautan’ manusia berikutan berlangsungnya konsert Hausboom Music 2023 dengan jayanya.
Berada di tapak konsert, kemeriahannya memang cukup terasa. Berdasarkan pemerhatian peribadi, sekitar 10,000 penonton membanjiri konsert tersebut.
Meskipun rata-rata penonton yang hadir terdiri daripada anak-anak muda tetapi 35 barisan penghibur yang diundang benar-benar memberi kepuasan maksimum kepada semua golongan usia.
Konsert pada hari pertama dibarisi penyanyi popular seperti Gerhana Ska Cinta, Insomniacks, Orkes A Hizadin, Naratu, Akeem Jahat, Nogood, Budak Nakal Hujung Simpang, Exists, IamNeeta, Hyndia dan Baby Shima.
Agak berbeza kali ini kerana lazimnya penyanyi dangdut tidak diundang menjayakan festival muzik sebegini namun Hausboom Music 2023 mengundang Baby Shima yang menjadi peledak suasana dengan gelekan ‘mautnya’ hingga menjadi bahan percakapan usai acara.
Senarai penyanyi pada sebelah malam tidak kurang hebatnya, adrenalin pengunjung mencanak naik dengan persembahan bertenaga daripada Forceparkbois X Chronicalz, Alif Satar & The Locos dan paling dinantikan sudah tentu tiga buah band terkenal iaitu Spider, Bunkface dan Search.
Tidak banyak bicara, hanya dengan petikan gitar daripada vokalisnya Tam, sudah cukup membuatkan peminat teruja apatah lagi apabila Spider mendendangkan seleksi lagu popular seperti Aladin, Cinta Dewa Dewi, Relaku Pujuk dan Laukku Cukup Masin.
Kehangatan konsert diteruskan oleh Bunkface yang terkenal dengan ‘kegilaan’ mereka di atas pentas. Pengalaman selama 18 tahun sebagai sebuah band ternyata menjadikan persembahan mereka cukup sempurna.
Ditambah vokalisnya Sam begitu bijak berinteraksi dengan peminat malah turut menjemput seorang peminat naik ke atas pentas menyanyikan lagu Rentak Laguku.
Namun, suasana berubah menjadi sedikit tegang apabila pasukan keselamatan merampas mikrofon dan meminta peminat itu turun dari pentas.
Walhal aksi Bunkface mengundang peminat menyanyi di atas pentas adalah satu kelaziman dalam setiap persembahan mereka. Bahkan peminat setia sememangnya ternanti-nanti momen sebegitu yang sudah menjadi identiti Bunkface.
Penganjur sepatutnya lebih memahami setiap karakter pemuzik yang dijemput. Interaksi bersama peminat itu dirasakan bukanlah satu kesalahan selagi tidak mendatangkan ancaman kepada penyanyi mahupun pengunjung lain.
Barangkali pada hemat pihak penganjur langkah tersebut diambil kerana mereka lebih berjaga-jaga selepas kontroversi persembahan band terkenal Britain, The 1975 dalam Festival Good Vibes yang menyebabkan keseluruhan acara dibatalkan serta-merta.
Baca artikel penuh menerusi akhbar Kosmo! atau layari https://kosmo.com.my.