Ernie, Noh bakal gamatkan konsert Senandung Malam-Payung Teduh X Sore

Penampilan tiga artis terkenal tanah air iaitu Noh Salleh, Ernie Zakri dan Atilia Haron bakal menghangatkan Konsert Senandung Malam – Payung Teduh X Sore (Setengah Lima Menuju Senja) yang bakal diadakan di Mega Star Arena, Kuala Lumpur hari ini.

Penganjur Neptunes Present yang juga aktres terkenal,Nabila Huda berkata, Noh akan membuat persembahan secara duet sebanyak dua lagu bersama kumpulan Sore.

“Mereka akan berduet lagu Musim Ujan dari album Sorealist dan satu lagi lagu masih dirahsiakan.  Persembahan mereka juga kejutan buat peminat yang akan datang menyaksikan konsert ini.

“Noh dipilih oleh kumpulan Sore kerana mereka ada pertalian dan saling berkongsi minat muzik yang sama sejak dulu,” kata anak penyanyi rock terkenal, Datuk Amy Search itu.

Selain Noh,   Nabila memberitahu pemilihan Ernie sebagai artis undangan untuk konsert malam ini kerana menepati kriteria lagu yang akan dipersembahkan.

“Hasil perbincangan Neptunes Presents dan pasukan Payung Teduh, kami sepakat memilih Ernie sebagai artis undangan kerana karakter suara yang kena dengan tema dan lagu yang akan didendangkan pada malam konsert.

“Ernie juga akan mendendangkan dua lagu Payung Teduh secara duet yang tidak pernah dibawakan secara  siaran langsung di Malaysia.

“Ernie akan berduet dengan Payung Teduh menerusi lagu Mari Bercerita dan Berdua Saja dan ini persembahan duet kali pertama Payung Teduh dengan artis tempatan,” katanya lagi

Mengulas penampilan artis tempatan, kata Nabila, pihaknya berharap mereka akan berjaya menghangatkan lagi Konsert Senandung Malam – Payung Teduh X Sore.

“Kami berharap dengan penampilan beberapa artis tempatan ini akan memeriahkan lagi suasana konsert selain mengukuhkan lagi ikatan antara pemuzik Indonesia dan Malaysia yang berkolaborasi atas platform muzik,” katanya.

Sementara itu, berkongsi jualan tiket, kata Nabila, ia juga sudah terjual hampir 50 peratus sejak hari pertama dijual pada 25 Ogos lalu.

“Jualan tiket belum mencapai tahap maksimum mungkin kerana lambakan konsert yang agak banyak.

“Justeru, Neptunes Present berharap peminat Payung Teduh dan Sore akan datang menyaksikan persembahan mereka yang mantap.

“Sore dan Payung Teduh juga akan ditemani Agal Muzik Ensemble, pemuzik orkestra tempatan bagi mewarnai persembahan malam ini,” ujarnya.

Sekadar info, Payung Teduh yang pernah menjayakan persembahan di Zepp Kuala Lumpur tahun lalu dianggotai Comi Aziz Kariko selaku pemain bass, Alejandro Saksakame (dram) dan Ivan Penwyn (gitar), manakala Pusakata atau nama sebenarnya, Mohammad Istiqamah Djamad adalah bekas vokalis Payung Teduh.

Payung Teduh yang popular menerusi lagu Akad kini bergabung dengan Pusakata sebagai Parade Hujan.

Manakala, Sore pula dianggotai Ade Firza Paloh selaku vokalis dan gitar, Awan Garnida (bass/vokal) dan Bemby Gusti Pramudya (dram).

Tiket konsert boleh didapati menerusi laman web myticketempire. Pembelian tiket secara ansuran juga ditawarkan melalui Atome. – HIB GLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok