Emas terjemahan hati Nadeera

SELEPAS menjuarai pertandingan realiti nyanyian Big Stage awal Julai lalu, kembara seni Nadeera Zaini yang kini mahu dikenali sebagai Nadeera menyaksikan perubahan besar apabila bakatnya mula dihargai pelbagai pihak.

Pantas mengatur strategi bagi mengekalkan momentum itu, Nadeera tampil dengan single baharu berjudul Emas ciptaan bersama Omar K, Iqie Hugh dan Firdaus Rahmat.

Lari daripada kebiasaan yang bertemakan cinta, menerusi single kali  ini Nadeera yang bernaung di bawah syarikat pengurusan Woodwind Records mengangkat tema kebangkitan dan semangat.

“Selepas berbincang mencari material yang sesuai, kami sepakat menjadikan Emas sebagai single perdana pasca kejuaraan Big Stage.

“Kronologi kisah ini seakan-akan bercerita mengenai semangat dan kebangkitan, sesuai dengan perjalanan baharu saya selepas memenangi pertandingan Big Stage musim kelima.

“Bagai dilahirkan semula selepas menjuarai Big Stage, saya perlu bijak menyusun karier dan tidak akan mensia-siakan apa sahaja peluang yang tersaji depan mata,” katanya yang terharu dengan penglibatan penyanyi Datin Alyah sebagai penulis lirik bersama tiga komposer lagu itu.

Berkongsi lanjut mengenai Emas, pemilik nama sebenar Farah Nadeera Zaini itu berkata, dendangan berkenaan merupakan isi hatinya yang mahu terus bersinar selepas melalui fasa jatuh bangun sebagai penyanyi  sejak 2012.

“Pengembaraan ini bukan mudah kerana karier seni saya telah bermula sedekad lalu selepas menyertai beberapa pertandingan.

“Pengalaman lalu sungguh menyentuh emosi. Naluri saya seperti mendapat suntikan semangat ketika berada di studio.

“Proses rakaman berjalan lancar, tetapi saya mengambil masa sembilan jam rakaman kerana mahu mendapatkan penjiwaan mendalam.

“Harapan saya, agar roh dan jiwa lagu Emas ini dapat disampaikan sebaik mungkin kerana karya ini sangat dekat dengan diri saya,” ujarnya yang terpilih beraksi dalam konsert Dream Collaboration Vol.4: Cakra Khan pada 17 September nanti.

Baca artikel penuh menerusi akhbar Kosmo! atau layari https://kosmo.com.my.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok