Dynas Mokhtar jauhi toksik media sosial

Dunia hiburan digemparkan dengan pelbagai isu sejak akhir-akhir ini termasuklah kemelut antara selebriti Nabila Huda dan Nad Zainal yang didakwa sudah putus kawan.

Ada jedanya, satu Malaysia tertumpu kepada insiden terbabit walaupun ramai yang seolah-olah membahaskan sesuka hati tanpa tahu cerita hujung pangkal. 

Bagi pelakon yang sudah lama bertapak dalam industri Dynas Mokhtar, dia tidak mahu terlalu ikut campur, namun optimis bahawa kedua-dua figura itu ada sebab tersendiri bertindak dengan cara masing-masing.

Sebagai penggiat seni yang turut mempunyai kelompok rakan baik dalam kalangan teman seindustri, dia enggan terlalu mencampuri urusan orang lain kerana itu adalah sebaiknya.

Ada antara perkara boleh dikongsikan sebagai pengajaran cuma kalau boleh, apa yang sepatutnya terbuku, biarlah berjisim sedemikian tanpa mengeruhkan lagi keadaan.

“Sejujurnya, saya jenis individu yang selesa tutup mulut. Semasa saya bercerai dahulu pun orang tidak tahu. 

“Saya sangat berhati-hati lebih-lebih lagi mengenai hal peribadi. Hanya kenalan rapat sahaja yang mengetahui. 

“Terpulang kepada seseorang itu juga tetapi kalau tanya saya, memang tidak suka mengumumkan sesuatu isu satu dunia,” katanya.

Toksik media sosial

Menceritakan kisah persahabatan yang utuh bersama rakan selebriti lain  seperti Sazzy Falak, Aishah Sinclair, Daphne Iking, Dynas, Serena C, Yasmin Hani dan Atilia Haron yang menggelarkan diri mereka Celepets, Dynaz berkata, dia sangat beruntung dengan keberadaan kesemua mereka sebagai sahabat.

“Kalau tanya Celepets pun, saya jenis akan selesaikan secara senyap, bukan maklumkan kepada orang luar tahu masalah kami.

“Sesama adik-beradik pun kita akan ada kecil hati. Sama juga dalam dunia berkawan tetapi kita akan berbaik kembali. Beri masa untuk masing-masing tenangkan diri dahulu. 

“Saya berbuat demikian kerana tidak mahu anak-anak jadikan perkara buruk sebagai contoh,” ujar pelakon dan pengacara itu seraya mendedahkan kumpulan kawan yang diberi nama unik itu ditubuhkan sejak 14 tahun lalu. 

Pesan pemilik nama lengkap, Wan Intan Edrinas Wan Mokhtar itu agar sesiapa tidak hanyut dengan kecanduan atau toksik media sosial. 

“Sekiranya pergaduhan diperbesarkan hingga ke media sosial, keadaan akan menjadi keruh. 

“Pihak kedua tidak cakap tiba-tiba pihak pertama ingat ada timbulkan isu hanya disebabkan mulut orang lain. 

“Netizen akan buat spekulasi dan perkara tersebut sangat berbahaya. Manusia pula suka lagakan antara satu sama lain,” ujarnya lagi. 

Ditanya cara mengekalkan persahabatan yang lama dengan ahli Celepets yang lain, Dynas hanya memberitahu kuncinya adalah kerap berkomunikasi antara satu sama lain. 

“Kami sangat suka berkomunikasi. Setiap apa yang dibincangkan pasti ada seorang yang akan mematikan api sekiranya melibatkan topik panas.

“Disebabkan itu mungkin kami tidak banyak benda negatif. Ada yang akan berpesan supaya berhenti gosip kerana sudah keterlaluan,” kongsi pelakon filem Impak Maksima itu. 

Petua jadi ibu

Enggan berlama-lama berbicara tentang krisis orang lain, aktres berusia 40 tahun itu mengubah rona perbualan dengan berkongsi tentang petua menjadi ibu bapa. 

DYNAS MOKHTAR

Baginya, setiap anak-anak tidak boleh mendapat layanan sama kerana mempunyai personaliti yang berbeza.

“Kita tidak boleh belajar daripada buku untuk menjadi ibu bapa yang terbaik.

“Bagi saya, tiada konsep ibu bapa baik atau jahat sebab itu atas individu tersendiri dan setiap anak pula berbeza. 

“Tidak boleh kita sama ratakan perangai setiap anak dan terapkan didikan yang sama,” tambahnya. 

Sementara itu, sebagai manusia biasa, Dynas tidak menafikan acapkali berasa tertekan sehingga terdampak kepada emosi anak-anak. 

Itu lazim buat manusia biasa, namun dia mempunyai cara sendiri mengatasi stres dalam mengendalikan anak-anak.

“Tipu kalau anak-anak tidak kena tempias emosi kerana kita juga manusia. 

“Namun, kita harus ada sistem sokongan yang kuat. Kasihan kalau kesihatan mental kita menjejaskan anak-anak.

“Kalau terus dibiarkan, mungkin anak-anak akan alami depresi. Saya suka melihat artis yang memberikan kesedaran isu ini,” tutur pengacara Beat TV itu.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok