PERNAH menjadi mangsa sihir, penyanyi dan pelakon, Andi Bernadee, 31, sering mengingatkan diri agar tidak membalas atau menyakiti semula insan yang menyakitinya sebelum ini.
Kata Andi, dia reda dan tawakal dengan apa yang menimpa malah sentiasa beringat agar berbuat baik kepada semua orang.
“Itu peringatan untuk diri sendiri. Jangan aniaya atau balas kejahatan orang meskipun sebelum ini saya pernah menderita kerana pengalaman itu (disihir).
“Sekarang saya tawakal, berserah dan berhati-hati. Itu sebabnya saya tidak ramai kawan sekarang.
“Syukur sebenarnya kerana pengalaman tersebut buka mata saya terhadap ragam dan kerenah manusia,” katanya.
Andi sebelum ini mendedahkan menderita kemurungan gara-gara disihir sekitar dua tahun lalu.
Namun katanya, perkara itu bukan disebabkan persaingan yang dihadapi hasil kemunculan penyanyi dan pelakon baharu yang membanjiri dunia hiburan tanah air.
“Saya hanya bersaing dengan diri sendiri dan bukan orang lain. Kita kena sokong kejayaan orang lain.
“Saya pernah berada di atas. Kini tiba masanya untuk saya kekalkan apa yang saya ada. Itu tidak mudah untuk dilakukan.
“Sebenarnya saya tidaklah tenggelam bahkan sudah selesai menjalani tiga drama yang masih belum diketahui bila tarikh tayangannya. Untuk lagu baharu pula, nantikan kemunculan buah tangan dari saya tidak lama lagi, Insya-Allah,” jelasnya. – SUMBER UTUSAN MALAYSIA