HANYA kerana dikritik berbaju ketat, penyanyi Shila Amzah mengambil keputusan untuk berhenti aktif dalam media sosial buat sementara waktu.
Menurut Shila atau nama penuhnya Nurshahila Amur Hamzah, 33, keputusan mendadak itu diambil kerana merasakan platform tersebut terlalu toksik buat dirinya.
Dia bagaimanapun tidak menjelaskan secara terperinci mengapa keputusan tersebut diambil.
“Saya akan ‘hilang’ daripada media sosial buat sementara waktu.
“Media sosial telah menjadi platform toksik buat saya, selamat tinggal,” katanya dalam InstaStory semalam.
Dalam masa sama, pelantun lagu Patah Seribu itu mengingatkan pengikut Instagramnya agar menjaga diri.
“Jaga diri dan harap ada hari yang baik untuk semua,” ujarnya.
Difahamkan, keputusan untuk berehat seketika daripada media sosial ada kaitan dengan kemunculannya dalam Konsert HausBoom Music 2023 di Litar Antarabangsa Sepang, Sepang pada Ahad lalu.
Pada acara tersebut, Shila dikatakan memakai baju sendat pada bahagian dalam jaket berwarna merah jambu yang tidak bersesuaian dengan imej wanita bertudung.
Perkara tersebut mengundang rasa kurang senang dalam kalangan netizen dalam media sosial. – HIBGLAM