Dibedah buat kali kedua, Min Yasmin trauma

PERLU menjalani pembedahan membuang darah beku selepas sembilan hari melahirkan zuriat pertama, penyanyi Min Yasmin mengakui berita itu membuatkannya hampir terduduk.

Menurut isteri kepada komposer Julfekar itu, dia bersetuju menjalani prosedur berkenaan apabila doktor memaklumkan ada hematoma di bawah lapisan kulit yang menyebabkan perutnya membengkak teruk dan boleh mengakibatkan jangkitan kuman andai tidak dibuang segera.

Meskipun dihantui rasa takut, pelantun lagu Terluka itu berkata dia terpaksa menguatkan hati demi anak tersayang selain mahu menjaga kesihatan mentalnya.

“Sebenarnya saya masih trauma dengan pembedahan kecemasan ketika melahirkan bayi kami tempoh hari dan tiba-tiba berdepan pula masalah darah beku dalam perut.

“Memang tak sedia untuk masuk semula ke bilik bedah, tetapi keadaan perut yang mengeras dan terlalu sakit membuatkan saya terpaksa reda.

“Pada Isnin lalu saya dibedah semula pada luka yang sama. Kiranya selepas melahirkan anak, saya kena menanggung sakit lagi.

“Apa yang boleh saya katakan, pembedahan kali ini lebih sakit daripada yang pertama. Apapun, syukur pembedahan ini lancar,” katanya kepada HibGlam.

Penyanyi yang melahirkan bayi pramatang ketika kandungan berusia 30 minggu itu turut berharap dapat sembuh segera bagi menjaga puteranya yang diberi nama Muhammad ZulFiras.

Pada masa sama Min atau nama sebenarnya Nurul Yasmin Abdul Aziz, 34, bersyukur ditemukan dengan ramai ibu yang banyak berkongsi tips menjaga bayi pramatang.

“Terima kasih kepada doktor dan jururawat yang memberikan penjagaan terbaik, begitu juga dengan rakan satu wad yang tak putus-putus memberi semangat kepada saya.

“Syukur, saya dapat pengalaman bergaul dengan kawan-kawan baharu yang banyak berkongsi tips dan informasi menjaga si kecil yang sememangnya sangat berguna buat saya yang pertama kali menimang cahaya mata.

“Apa pun saya kena kuat mental dan fizikal supaya dapat jaga bayi kami yang masih ditempatkan dalam inkubator untuk beberapa minggu lagi.

“Bayi pramatang perlukan susu ibu untuk menguatkan sistem imun, jadi saya kena kekal positif,” katanya yang  mendapatkan rawatan di Hospital Kanak-Kanak dan Wanita, Kota Kinabalu, Sabah.

Pada 16 September lalu Min berkongsi khabar melahirkan bayi lelaki menerusi kaedah pembedahan kecemasan ketika kandungan mencecah 30 minggu.

Zuriat yang ditunggu selama 10 tahun itu kini ditempatkan di unit rawatan intensif neonatal (NICU) bagi pemantauan berikutan kelahiran pramatang dengan berat 800 gram. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok