Bakal rujuk semula sebagai suami isteri dalam waktu terdekat, pelakon Diana Danielle menyifatkan perubahan besar pada diri bekas suami, Farid Kamil menjadi pendorong utama ke arah keputusan tersebut.
Diana atau nama sebenarnya, Diana Danielle Danny Beeson berkata, bukan hanya Farid, 42, dia sendiri banyak berfikir apabila kemelut rumah tangga mereka menjadi sorotan ramai sejak beberapa bulan lepas.
“Saya nampak beberapa perubahan positif dari segi keadaan kami berdua.
“Semua yang kita buat ini sejujurnya adalah untuk anak-anak. Kalau hanya untuk diri kami, mungkin tiada sangat motivasi terlalu tinggi untuk mencari jalan mengeratkan kembali hubungan.
“Kami juga fikir tentang masa depan anak-anak. Mungkin ini (apa yang berlaku) juga boleh menjadikan kami ibu bapa yang lebih baik pada masa akan datang serta pasangan yang lebih matang dalam mengendali rumah tangga,” katanya Diana, 32, kepada HIB GLAM.
Menjawab tentang persepsi buang masa dan bersusah payah naik turun mahkamah sepanjang proses perceraian, bintang Imaginur itu berkata, proses tersebut harus mereka lalui demi menemukan sesuatu yang terbaik.
“Kalau orang tanya macam buang masa naik turun mahkamah, bagi saya, ini semua satu proses yang nak tak nak, kami harus lalui untuk dapatkan satu keputusan yang lebih baik,” luah Diana menyedari pandangan umum terhadap perubahan pendiriannya.
Getus Diana lagi, Tuhan lebih tahu apa yang terbaik buat dirinya dan Farid.
“Allah lebih tahulah apa yang terbaik buat saya, Farid dan anak-anak.
“Semoga kami berdua jadi pasangan yang memahami diri masing-masing dan sentiasa boleh jadi lebih baik daripada tahun-tahun sebelumnya,” katanya.
Semalam, Diana dan Farid mengesahkan bakal rujuk semula secepat mungkin dalam waktu terdekat selepas sah bercerai talak satu 10 Ogos lalu.
Terdahulu, selepas 11 tahun perkahwinan, Diana dan Farid bercerai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Selangor
Perkahwinan mereka dikurniakan dengan dua cahaya mata, Muhammad, 10, dan Nur Aurora, 8. – HIB GLAM