Demi peminat, Armada Band turun Sabah 4 November   

KHABAR gembira buat pencinta Armada Band di Sabah apabila kumpulan itu bakal menjayakan konsert Armada – Janji Bahagia pada 4 November depan.

Dibawakan Jeeharris Corporation, konsert terbabit bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).

Penganjur yang juga selebriti, Harris Baba berkata, pemilihan Armada Band bagi penganjuran konsert terbabit adalah kerana mereka punya ramai pengikut di negeri itu.

“Mereka antara kumpulan Indonesia yang popular di sini (Sabah) dan lagu mereka menjadi siulan harian peminat.

“Kami menjanjikan sebuah persembahan mantap dan luar biasa buat semua penonton konsert itu nanti.

“Saya yakin semua yang hadir akan pulang dengan senyuman. Kami terbangkan Armada Band khas dari Indonesia untuk mereka,” katanya.

Dianggotai Rizal Adi selaku vokalis, Meri Yandi (pemain dram) dan Andika Maihendra (pemain gitar), band itu akan mempersembahkan 18 lagu popular dalam konsert berskala besar itu.

Antara lagu yang ada dalam katalog konsert itu adalah Bebaskan Diriku, Asal Kau Bahagia dan Pergi Pagi Pulang Pagi.

Bagi memeriahkan lagi acara itu, Harris memaklumkan pihaknya sedang meneliti beberapa nama penyanyi tempatan Sabah untuk beraksi pada persembahan pembukaan.

Harris turut berpendapat penganjuran Konsert Armada Band di Sabah satu keputusan yang tepat memandangkan negeri itu berhampiran Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan selain beberapa negera jiran iaitu Brunei serta Indonesia.

“Kita yakin banyak penerbangan terus dari beberapa negara berdekatan Sabah juga membolehkan peminat Armada Band hadir menonton konsert ini.

“Sudah semestinya penganjuran konsert ini mampu merancakkan lagi industri hiburan, pelancongan, perhotelan dan ekonomi Sabah,” katanya.

Tiket menonton konsert Armada – Janji Bahagia mula dijual www.myticket.asia sejak 24 Julai lalu.

Tiket menonton konsert itu boleh dibeli secara dalam talian di www.myticket.asia sejak 24 Julai lalu.

Sebelum beraksi di Sabah, band itu terlebih dahulu menghiburkan peminat mereka di semenanjung menerusi konsert Armada First Encounter di Zepp Kuala Lumpur pada 29 Oktober.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok