Demi jaga hati netizen, Kak Lina undur diri dari GV10 

DIKECAM gara-gara kegedikan melampau sebagai hos bersama program realiti All Stars Gegar Vaganza (GV10) disamping dua pengacara lain Nabil Ahmad dan jihan Muse, penyanyi, Elly Mazlien atau lebih mesra membahasakan diri Kak Lina Pom Pom memutuskan untuk tidak lagi ‘mengacarakan’ acara tersebut untuk minggu-minggu berikutnya.

Kak Lina menerusi Instagram berkata, demi menjaga hati ramai pihak, dia terpaksa mengambil pendekatan sedemikian.

“Selepas Kak Lina membaca kesemuanya, sudah tiba waktunya Kak Lina tidak perlu ada di pentas GV demi menjaga hati kalian dan semua pihak.

“Kak Lina meletakkan kesemua kesalahan pada diri sendiri. Niat Kak Lina untuk menghiburkan tapi lain pula jadinya. Buat semua orang tak berminat nak tengok GV pula. Sekali lagi, Kak Lina meletakkan kesalahan pada diri sendiri,” coretnya.

Katanya, dia hanya mencari rezeki di pentas GV yang merupakan program hiburan kegemaran ramai rakyat Malaysia.

“Demi kebaikan semua pihak, Kak Lina tidak akan muncul lagi di GV. Minta maaf segala kekhilafan ya. Kak Lina tak bermaksud apa-apa. Memang nak menghiburkan sahaja.

“Jaga diri ya semua. Terima kasih di atas segala kemanisan yang Kak Lina rasa sebelum ini. Terima kasih banyak-banyak,” katanya lagi.

Bagaimanapun, posisi yang ditinggalkan ‘alter ego’ figura itu akan diisi sendiri oleh Elly Mazlein. Bermakna, Elly Mazlein akan mengacara program hiburan nombor satu negara itu dengan menjadi Elly barangkali dengan formaliti yang lebih tertib dan teratur.

PENGACARA dan penyanyi, Kak Lina memutuskan untuk ‘meninggalkan’ pentas GV10 demi kebaikan semua pihak.

“Insya-Allah, Elly Mazlein akan mengggantikan Kak Lina di GV nanti. So, I’ll sign off (Kak Lina akan tarik diri),” ujarnya.

Ahad lalu, All Stars Gegar Vaganza membuka tirai menyaksikan gabungan tiga pengacara ‘panas’ iaitu Nabil Ahmad, Jihan Muse dan Elly Mazlein bersatu di atas pentas sekali gus menjawab teka-teki pengacara yang akan mengendalikan program hiburan nombor satu negara itu.

Gegar Vaganza kali ini membariskan kesemua juara-juara dari musim pertama hingga kesembilan iaitu Ayai Illusi (GV1), Siti Nordiana (GV2), Azharina (GV3), Datuk Aishah (GV4), Noryn Aziz (GV5), Naqiu & Hady Mirza (GV6), Cliff Umar (GV7), Aliff Aziz (GV8) dan Jaclyn Victor (GV9).

Manakala, ada enam bintang ‘hot seat’ yang dipilih berdasarkan undian peminat iaitu Tomok (GV9), Suki Low (GV8), Nikki Palikat (GV8), Ezad Lazim (GV2), Zamani (GV5) dan Liza Hanim (GV4). – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok