PELAKON, Syafie Naswip sanggup menurunkan berat badan hampir 27 kilogram (kg) dalam tempoh dua bulan bagi menjayakan watak ahli kongsi gelap dalam filem aksi romantis, Fanna yang bakal menemui penonton 28 September ini.
Katanya, misi yang dibantu jurulatih senaman berpengalaman, selain mengikuti rejim pengambilan makanan sihat membolehkannya kembali ke angka 51 (kg) berbanding berat asal iaitu 78 (kg).
“Sebelum Fanna saya terbabit dalam sebuah produksi yang memerlukan saya bertubuh besar, tetapi selepas itu saya macam seronok pula menikmati makanan sehingga cecah 78 kg.
“Apabila pengarah Andy Weng minta saya buat badan untuk watak gangster bernama Shafik, tuntutan ini jadi wakeup call untuk saya amalkan semula gaya hidup sihat.
“Tapi buang lebihan lemak melebihi 20 kg dalam tempoh dua bulan bukan senang, jadi saya dapatkan bantuan profesional untuk misi tersebut selain jaga makan dan tak ambil air manis.
“Alhamdulillah, berkat disiplin dan sokongan orang sekeliling saya dapat capai sasaran walaupun berdepan banyak dugaan,” katanya ketika ditemui pada tayangan perdana filem terbitan Jaguar Lim Films & Productions itu, baru-baru ini.
Naskhah berlatarkan dunia gangsterism edaran MIG itu turut menggandingkannya dengan aktres Fify Azmi sebagai tunjang utama.
Filem yang berlatarkan percintaan antaranya dengan pesakit kanser bernama Fanna itu sarat babak pergelutan serta aksi, sekali gus memerlukan stamina tinggi.
“Saya perlu bersedia mental dan fizikal sebelum masuk set kerana banyak adegan pertarungan, menggunakan senjata api dan jatuh dari tempat tinggi.
“Boleh dikatakan 40 peratus aksi lasak saya lakukan sendiri, kesannya tetap ada apabila badan saya lebam selain berdepan kecederaan ringan. Mujur kecil saja luka,” tambahnya.
Berkongsi mengenai proses penyembuhan pembedahan apendiks awal bulan ini, jejaka berusia 31 tahun itu berkata kesan luka sudah semakin sembuh.
“Sebenarnya lima hari selepas pembedahan saya terbang ke Sarawak bagi menjalani penggambaran sebuah filem.
“Pengarah faham situasi saya dan minta buat babak mudah dahulu yang tidak memerlukan banyak pergerakan,” kongsi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia (FFM) ke-22 dan ke-25 itu. – HIBGLAM