BERSTATUS bujang sebenarnya tidaklah seindah dan sebebas yang disangka.
Bagi pelakon Azhan Rani, 47, itulah antara perkara yang cuba dielakkan menjadi bahan perbincangan, terutama saat bertemu pihak media.
Mengakui agak bosan menjawab soalan berhubung hati dan perasaan, pemilik nama penuh itu Azhan Abdul Rani itu bagaimanapun ada terdetik untuk dikurniakan pasangan seperti orang lain.
Meskipun tidak meletakkan harapan tinggi, Azhan mengakui sering dilamar ramai wanita menerusi media sosial namun terpaksa ditapis sehabis baik, bimbang terjerat love scam.
“Ada yang cuba mendekati cuma tiada yang berjaya menambat hati. Pastilah saya perlu selektif, beli bawang pun kena pilih. Ada yang ajak saya kahwin tetapi takut sebab tidak kenal, risau jadi mangsa ‘love scam’.
“Saya tak fikir sangat pun soal kahwin kerana ada perkara lain lebih diutamakan iaitu komitmen kerjaya dan menjaga mak yang sedang uzur. Bukan beban tetapi lebih kepada tanggungjawab seorang anak kepada ibu.
“Malah, hidup saya tidak sunyi sebab banyak aktiviti dilakukan setiap hari, ditemani kucing dan jadual kerja pun padat.
“Soal jodoh saya serahkan kepada Tuhan. Tidak meletakkan ciri-ciri yang spesifik, asalkan kami saling menerima,” katanya.
Beralih soal karier, Azhan yang kerap diberikan watak antagonis mengakui ada keinginan untuk mencuba karakter berbeza namun akur dengan setiap rezeki yang tertulis buat dirinya.
“Sebagai pelakon, saya terima sekiranya pengarah mahu saya bawa watak gelap dan anggap sebagai rezeki.
“Sebenarnya ada juga berlakon watak komedi tetapi karakter antagonis juga yang orang nampak.
“Selalunya kalau filem, memang kerap dapat watak antagonis. Saya anggap penghargaan sebab pengarah percaya kemampuan saya,” ujarnya.
Mengulas filem terbaharu lakonannya yang berjudul Tebus, Azhan berkata tawaran itu diterimanya kerana mahu kembali ke Sarawak.
“Saya graduan drama dan teater Universiti Malaysia Sarawak. Apabila ditawarkan membawakan watak Bakar dalam Tebus, saya terima kerana mahu kembali ke negeri yang menjadi tempat saya menuntut ilmu.
“Sebelum ini saya kerap dapat pertanyaan bila hendak ke sana, ada yang mahu lihat Sarawak dalam karya lakonan saya,” katanya.