Cinta lokasi, bala berbanding bahagia – Shah Iskandar

PERNAH terjebak cinta lokasi ketika zaman bujang, Shah Iskandar kini lebih berhati-hati menjaga batas demi memelihara keharmonian keluarga terutama hati isteri tersayang.

Bagi pelakon berusia 41 itu, dia enggan membuka ruang terhadap hubungan terlarang semata-mata mahu merasai keseronokan yang boleh melukakan perasaan ramai orang.

“Pada fasa ini tiada apa lagi yang saya inginkan kerana sudah cukup bahagia dengan isteri dan dikurniakan permata hati berusia tiga tahun.

“Bagi saya kalau solo tak mengapa terbabit dengan cinta lokasi kerana tidak menggugat sesiapa, tetapi buat yang sudah beristeri atau suami, cuba elakkan daripada membuka ruang.

“Jangan berskandal lepas kahwin, bimbang bawa bala berbanding bahagia,” katanya ketika ditemui di set penggambaran Bukan Cinta Sempurna di Bangi, baru-baru ini.

Menurut Shah atau nama lengkapnya Shah Iskandar Mahfuz, seiring peningkatan usia serta berstatus bapa, seboleh-bolehnya dia enggan membawakan babak keterlaluan.

“Adegan mesra, intim boleh ditunjukkan dengan pelbagai cara, jadi jika boleh elak kita elak. Pengarah dan penerbit pun faham,” ulasnya.

Mengenai watak sebagai Aniq dalam drama 50 episod itu, Shah berkata ramai penonton wanita tidak berpuas hati meninggalkan mesej di laman sosialnya.

Malah, ada antara mesej berkenaan mengundang prasangka isterinya apabila hanya meletakkan nama seorang wanita tanpa menyebut itu watak dalam drama yang kini disiarkan di Astro Ria.

“Laman sosial saya dikendalikan isteri kerana antara kami memang tiada rahsia. Jadi, apabila dia terbaca mengenai Qistina dalam DM (mesej langsung), sudah tentu dia sangka saya ada wanita lain.

“Sedangkan itu watak Ayda Jebat. Saya syak yang benci saya peminat Ayda, tetapi dari sudut lain pula menunjukkan watak saya meninggalkan impak kepada khalayak.

“Saya tak kisah nampak jahat atau dibenci dalam drama, asalkan mesej sampai dan pada masa sama pastikan aksi tidak melampau,” ulas aktor asal Woodland, Singapura itu.

Terdahulu, perkahwinannya dengan ahli perniagaan, Siti Sarah Mohd. Noor pada 2016 dikurniakan seorang putera, Yusuf Zulkarnaen yang kini berusia tiga tahun. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok