Che Ta bingung akaun Instagram digantung

PELAKON jelita, Rozita Che Wan bingung dan kecewa apabila akaun Instagram miliknya @rozitachewan1 digantung atas alasan tidak mematuhi garis panduan komuniti sejak 15 September lalu.

Dia yang juga ahli perniagaan mendedahkan ada menerima emel daripada pihak aplikasi terbabit agar bertindak segera dengan membuat rayuan jika tidak mahu kehilangan akaun berkenaan.

Kata Rozita atau mesra disapa Che Ta lagi, pihaknya diberikan tempoh masa sehingga 13 Mac 2024 untuk mengemukakan rayuan.

“Sejak akaun digantung, saya sudah melakukan banyak kali rayuan namun sampai sekarang belum menampakkan progres.

“Malah saya juga sudah beberapa kali menghubungi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi meminta pertolongan.

“Tetapi saya kecewa apabila panggilan telefon ke agensi terbabit tak pernah berangkat,” katanya kepada HibGlam.

Menurut anak jati Alor Setar, kedah itu, dia buntu mengenangkan situasi yang bagai tiada jalan penyelesaian memandangkan laman sosial tersebut digunakan untuk berniaga.

“Selama ini dengan Instagram saya menjana pendapatan dan beroleh rezeki menjual produk keluaran sendiri, by RCW.

“Saya juga melakukan ulasan promosi produk di platform sama tetapi sudah jadi begini, siapa yang tak sedih.

“Buat sementera waktu, saya guna platform media sosial lain seperti TikTok,” ujarnya yang popular dengan drama Kiah Pekasam.

Aktres berusia 49 tahun itu bagaimanapun tidak berputus harap bahkan berdoa agara urusan mendapatkan kembali  akaun berkenaan dipermudahkan.

“Tak mampu saya bayangkan jika akaun yang diikuti 5.2 juta pengikut itu lesap begitu saja.

“Dengan kerendahan hati, saya berharap akan memperolehinya kembali.  Kalau ada pihak yang boleh membantu  mendapatkan semula akaun IG ini, saya amat hargai.

“Mungkin mereka boleh hubungi kawan saya atau menghantar mesej langsung ke akaun anak, suami atau teman rapat saya,” katanya.- HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok