Bidas tuduhan pengguna TikTok, Abby Abadi nafi rapuh

 “SAYA okey saja, tak rapuh.”

Itu respons pelakon, Abby Abadi sekali gus menafikan dirinya bersedih selepas anak keduanya, Marissa Dania Hakim dilabel perosak rumah tangga sehingga sepasang suami isteri bercerai baru-baru ini.

Menurut pemilik nama penuh Arbaiyah Abdul Manan, 45, emosinya tidak rapuh seperti yang didakwa segelintir pengguna TikTok baru-baru ini.

“Banyak sangat akaun TikTok yang dicipta menggunakan nama saya dan anak-anak kemudian sedap nak maki hamun orang.

“Sudah tiada kerja agaknya orang Malaysia. Tiada rapuh-rapuhlah, saya okey sahaja,” katanya dalam InstaStory semalam.

Dalam perkongsian sama, dia yang popular menerusi drama Gerak Khas berharap orang ramai khususnya pengguna media sosial agar tidak melemparkan sebarang komen negatif secara membuta-tuli tanpa memeriksa pemilik sebenar mana-mana akaun TikTok yang menggunakan namanya.

“Tengok-tengoklah dahulu sebelum nak meninggalkan komen sebab akaun itu bukan milik kami.

“Jangan main serbu sahaja nak maki hamun orang lain,” tegasnya.

Abby juga melihat dugaan yang melanda keluarganya baru-baru ini sebagai ujian daripada Allah yang perlu ditempuh selagi bernafas.

“Selagi hidup, selagi itulah kita akan diuji.

“Ujian tanda Allah SWT peduli. Terus jaga diri, jaga solat jaga hak Allah sebaiknya okey,” katanya lagi.

Tangkap layar sebuah hantaran dalam akaun TikTok yang disifatkan Abby sebagai menangguk di air yang keruh.

Abby turut memuat naik tangkap layar sebuah hantaran dalam akaun TikTok yang menggunakan isu berkaitan keluarganya sebagai bahan konten.

“Terima kasih sang suami setia disisiku di saat hatiku sedang rapuh,” tulis pemilik akaun tersebut yang turut memuat naik wajah Abby bersama suami, Muhammad Faizal Zakari.

Baru-baru ini, anak perempuan keduanya, Marissa hasil perkahwinan dengan aktor Norman Hakim menjadi bahan bualan hangat selepas dituduh sebagai perampas suami orang.

Perkara itu didedahkan seorang wanita dikenali sebagai Umisya Mazlan dalam aplikasi X.

Enggan memanjangkan isu, Marissa kemudiannya tampil mempertahankan diri dan mengakui kesalahannya.

Dia turut menyatakan tidak adil sekiranya orang ramai meletakkan kesalahan yang dilakukannya itu sebagai tanggungjawab ibu bapanya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok