Bersaiz s, Aishah jadi rebutan pereka fesyen

All Stars Gegar Vaganza bakal menyaksikan kelainan dibawakan Datuk Aishah apabila bukan sahaja menitik beratkan kualiti persembahan tetapi juga penampilan serta kreativiti.

Akui Aishah, dia mahu tampil dengan busana yang lebih baik berbanding apa yang digayakan ketika bertanding pada musim keempat, enam tahu lalu yang disifatkan tidak mencapai tahap terbaik.

Bukan kerana ingin menunjuk tentang perubahan bentuk fizikal yang kini bersaiz s tetapi cuma berasa lebih yakin dan selesa pada pertandingan kali ini, terutama apabila berat badannya menurun sehingga 52 kilogram selepas melakukan pembedahan bariatrik.

“Persiapan saya untuk GV kali ini agak ekstra berbanding musim terdahulu sebab mahu tunjukkan kepada peminat bahawa akan tampil dengan fesyen lebih menarik di atas pentas.

“Jika orang tanya mengapa baru sekarang, jawab saya, dahulu tiada yang ingin menaja sebab kata mereka baju saya perlukan banyak kain kerana bersaiz besar,” katanya.

AISHAH teruja apabila bakal mempunyai pasukan atau ‘glam team’ yang akan mengatur dan menguruskan setiap persalinan serta tatariasnya dalam setiap konsert mingguan

Keadaan jadi berbeza sejak saiz badan mengecil, apabila berpusu-pusu pereka fesyen tampil menawarkan diri menjadi penaja busana setiap persembahannya kelak.

“Sekarang lain pula, berebut-rebut orang nak taja baju saya.

“Semasa GV4, walaupun saya menang, saya tidak berasakan yang saya berada dalam versi terbaik.

“Jadi, kali ini saya rasa lebih yakin dengan diri sendiri. Mungkin baju yang dipakai nanti juga lebih berfesyen macam ada ropol dan berkilau,” ujarnya sambil tertawa kecil.

Masih dalam mood teruja, pemilik nama penuh Wan Aishah Wan Ariffin itu bakal mempunyai pasukan atau ‘glam team’ yang akan mengatur dan menguruskan setiap persalinan serta tatarias konsert mingguan yang akan bermula pada 24 September ini.

“Akhirnya saya akan ada ‘glam team’ sendiri. Sebenarnya kasihan pada diri sendiri ketika GV4 sebab nampak susah sangat nak bersiap kerana tiada pembantu.

“Sekarang sudah boleh datang ke konsert lenggang kangkung dan tunggu orang siapkan sahaja seperti dipakaikan tudung serta aksesori.

“Maknanya, saya sudah boleh beri ekstra fokus terhadap nyanyian dan persembahan tanpa perlu memikirkan baju yang hendak dipakai setiap minggu,” ujar penyanyi berusia 58 tahun itu.

Baca artikel penuh menerusi akhbar Kosmo! atau layari https://kosmo.com.my.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok