Bergelar sutradara, Mat Kola taruhan sulung Hafiz Nafiah

IMPIAN pelakon Hafiz Nafiah untuk duduk di kerusi pengarah akhirnya jadi kenyataan apabila tampil dengan filem komedi berjudul Mat Kola selepas hampir 20 tahun menanti.

Hafiz atau nama sebenar, Mohd. Hafiz Mohd. Nafiah berkata, filem terbitan AA Success Pictures Sdn. Bhd. itu cukup bermakna kerana sudah lama menanti peluang mengarah filem pertama.

“Saya bersyukur diberi peluang dan kepercayaan mengarah filem Mat Kola daripada penerbit, Azman Ahmad. Kami sudah kenal sejak 20 tahun lalu.

“Azman mencadangkan nama saya sebagai pengarah kepada penerbit eksekutif, Mahamad Pozi Mansor atau Abang Chot.

“Idea asal filem Mat Kola adalah daripada Azman, tetapi skripnya ditulis Pijon yang sudah biasa menulis cerita dalam dialek utara (Kedah),” katanya.

HAFIZ komited memastikan penggambaran berjalan dengan lancar.

Ditanya kenapa mengambil masa yang lama untuk mengarah, kata Hafiz, dia mahu menimba ilmu dunia belakang tabir produksi sebelum bersedia menggalas komitmen itu. 

“Berbekalkan pengalaman luas sedia ada, barulah saya bersedia untuk duduk di kerusi pengarah.

“Saya percaya tidak semua orang akan dapat peluang keemasan itu.

“Saya juga sudah lama sedia untuk mengarah drama, tetapi tawaran yang datang adalah projek filem dulu.

“Saya harap filem Mat Kola akan menjadi titik permulaan untuk membuktikan kerjaya saya sebagai pengarah,” katanya.

Bercerita pembabitan awalnya dalam bidang seni, kata Hafiz, dia mula memasuki bidang seni sebagai penyanyi nasyid ketika masih menuntut di tingkatan empat.

“Selepas tamat persekolahan, saya mula bekerja dengan kumpulan nasyid popular Rabbani selama dua tahun.

“Ketika Rabbani bernaung di bawah KRU, saya jadi pegawai perhubungan awam untuk kumpulan Phyne Ballerz.

“Selepas itu, saya mula pergi uji bakat di Metrowealth (MIG) dan dapat tawaran watak ekstra dalam filem Kuliah Cinta arahan pengarah, Prof. Madya Datuk A. Razak Mohaideen pada 2004,” katanya.

AKTRES jelita Rozita Che Wan melakonan watak Che Som dalam Mat Kola.

Bermula dari situ, kata Hafiz, dia ditawarkan bekerja sebagai kru belakang tabir milik produksi A. Razak.

“Saya bermula sebagai ‘runner’, pembantu produksi, ‘handyman’, pengurus produksi dan konti termasuklah terbabit dalam kumpulan teknikal dalam pelbagai jawatan sehinggalah diberi peluang menjadi penolong pengarah.

“Saya dapat memegang jawatan penolong pengarah dalam filem A. Razak. Antaranya, filem lakonan Datuk Aznil Nawawi dan Nasha Aziz,” kata pelakon filem Dunia Baru The Movie itu.

Selaku penerbit penyelaras, pengarah dan lakon layar filem Mat Kola, kata Hafiz judul filem dipilih kerana karya itu menceritakan tiga anak jati Kuala Kedah iaitu Mat Ki (Usop Mentor), Mat Yon (Azman Ahmad) dan Mat Not (Taiyuddin Bakar).

“Penggambaran filem membabitkan kos mencecah RM1 juta ini berlangsung pada Oktober 2021 dalam tempoh hampir tiga minggu.

“Filem ini mengambil masa selama dua tahun untuk ditayangkan kerana banyak kekangan seperti proses suntingan, bahagian teknikal dan sebagainya,” katanya.

MAJORITI pelakon Mat Kola berasal dari Kedah dan tiada masalah untuk bertutur dalam loghat utara dengan baik.

Berkongsi jalan cerita pula, kata Hafiz, dia mahu menghasilkan filem yang mudah difahami dan menghiburkan penonton.

“Jalan cerita filem ini santai mengenai kisah peniaga burger dan semoga ia boleh menaikkan semangat mereka untuk terus berniaga. Itu adalah plot utama dan dibantu sub plot lain.

“Saya akui bukan mudah untuk mengarah genre komedi kerana saya juga baca skrip berulang kali dan merombaknya banyak kali sebelum saya imaginasikan dan beri penerangan pada pelakon,” katanya.

Ditanya barisan pelakon, kata Hafiz, semua pelakon utama dan pembantu sangat profesional dan memberikan kerjasama terbaik di lokasi penggambaran.

Mat Kola turut menampilkan barisan pelakon seperti Rozita Che Wan sebagai Che Som, Ropie (Pak Sheikh), Putri Hanan (Maliah), Fendi London (Bang Lah), Mohd. Hafeezul Yop (Joe Klipop), Abang Gee (Abang Gee), Zainon Ismail (Bang Non), Suhaili Che Rus (Zali),Cikgu Akop (Pak Hashim) dan Pak Abang (Badrul).

“Rata-rata pelakon dari Kedah dan mereka tiada masalah untuk dialek utara serta semuanya kelakar,” katanya.

Ditanya cabaran ketika penggambaran pula, kata Hafiz, dia berdepan dengan keadaan cuaca yang tidak menentu di Kedah di mana hujan turun dari pagi hingga petang.

“Baru nak ‘shoot’ hujan turun dengan lebatnya hingga kami terpaksa tukar lakon layar. Contohnya, terpaksa tukar babak Che Som pakai payung untuk disesuaikan dengan keadaan cuaca ketika itu.

“Bagaimanapun, Tuhan permudahkan sepanjang penggambaran filem ini. Selain mengarah, saya juga sebagai penerbit penyelaras dan buat sehabis baik untuk mengawal bajet sedia ada,” katanya.

Mengulas sasaran kutipan, kata Hafiz, dia hanya melakukan kerja seikhlas hati hingga filem itu siap.

“Saya tak nak letak sasaran kutipan kerana kita sudah usaha yang terbaik kerana ini filem pertama saya dan selebihnya saya serahkan pada Tuhan,” katanya.

Mat Kola bakal ditayangkan di 65 pawagam seluruh tanah air bermula 21 September ini.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok