Bakal isteri kahwini ‘penyondol’, Talha Harith putih mata

PELAKON Talha Harith berputih mata apabila bekas tunangnya didakwa mengahwini lelaki lain hanya selepas dua bulan memutuskan ikatan yang telah tujuh tahun terjalin.

Katanya, segala persediaan ke jenjang pelamin sudah dibuat, namun wanita tersebut menoktahkan janji semata-mata ingin kembali ke pangkuan lelaki yang pernah bergelar tunangnya suatu ketika dulu.

Dedah Talha atau nama sebenarnya Talha Amir Harith, sebelum itu dia telah menegur perbuatan individu terbabit, tetapi tidak diendahkan sehingga ikatan dimeterai dengan bakal isteri terlerai, manakala si penganggu pula mengahwini perempuan tersebut.

“Hantaran dah beli, dewan dan tempah, hujung-hujung nikah dengan penyondol yang aku dah pernah ‘sound’ (tegur).

“Penyondol itu pula bila tunang orang dah tegur patutnya ‘tone down’ (berundur) sikit. Ini tidak, berlagak sebab kita cakap elok-elok tak nak gaduh. Tapi mungkin silap saya sebab cakap lembut lembut. Tak makan saman.

“Ajak jumpa tak nak, takut. Tak mengapa kifarah akan mengiringi mereka,” katanya dalam perkongsian Instagram.

Sejak semalam pelakon Tanah Kubur itu memuatnaik beberapa hantaran dalam laman sosial meluahkan perasaan serta kekecewaan hati diperlakukan sedemikian.

Menurut aktor berusia 34 tahun itu, ibu kepada wanita terbabit juga memaklumkan mengenai pernikahan anaknya sambil menangis kerana enggan dia tertipu.

Malah insan yang dihormati itu seolah-olah pernah memberi bayangan kecurangan puterinya apabila menzahirkan pertanyaan meminta Talha menjadi anak angkatnya andai perkahwinan dirancang tidak menjadi.

“Sebelum mengetahui dia berkahwin dengan lelaki lain, saya sendiri yang menghantar ibunya ke klinik mendapatkan rawatan semput, rupa-rupanya dia ada di dalam.

“Keesokan hari ada orang datang pasang pelamin. Sabtu mereka nikah dan dalam masa sama aku sentiasa mesej mak dia ingatkan untuk makan ubat.

“Kata maknya mereka nak balik kampung (tapi) sumpah tak tahu macam rasakan sesuatu. Dua hari aku solat istikharah, hari ketiga emak dia telefon menangis dan bercerita,” katanya.

Paling terusik apabila wanita dihormati itu turut menyatakan persalinan pengantin yang digayakan anak perempuannya sepatutnya dipakai pada hari pernikahan dengan Talha.

Berkongsi lagi berkenaan lelaki tersebut, dakwa Talha kedua-dua individu terbabit pernah bertunang, tetapi hanya bertahan sebulan berikutan tentangan keluarga.

Kemudian lelaki berkenaan mendirikan rumahtangga dan dikurniakan cahayamata sebelum bercerai seterusnya menghubungi semula bekas tunangnya.

“Dahlah dulu dia tinggalkan perempuan ni lepas sebulan tunang, kahwin dengan orang lain dapat anak lepas tu cerai, ganggu hubungan orang. Ini ke lelaki mithali?” tambahnya.

Aktor asal Johor itu mengakui perlu mendedahkan peristiwa yang menimpanya bagi meluahkan perasaan selepas diuji dengan dugaan besar tersebut.

Begitupun, pada masa sama dia menegaskan tidak akan memutuskan hubungan dengan keluarga wanita terbabit mahu pun mengambil tindakan undang-undang. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok