Axiata Arena bermandikan cahaya laser kerana Alan Walker 

AXIATA  Arena bermandikan sinaran laser apabila produser muzik dan DJ popular dunia, Alan Walker melunaskan konsert jelajah Alan Walker Walkerverse di lokasi ikonik tersebut.

Merupakan persembahan terakhir, Kuala Lumpur menjadi bandaraya pilihan DJ kelahiran Norway itu menutup siri jelajah Walkerverse yang sebelum ini telah berkunjung ke negara-negara lain seperti Eropah, Amerika Utara dan beberapa bandar utama Asia lain termasuk Singapura dan Bali, Indonesia.

Anjuran Star Planet, Walkerverse berdurasi sekitar dua jam yang menyaksikan Alan atau nama sebenarnya, Alan Olav Walker membuatkan lebih 4,000 penonton teruja menikmati muzik DJ kegemaran mereka itu.

Tiket terhad untuk 4,000 penonton sahaja kerana level empat Axiata Arena memang sengaja dikosongkan kerana di bahagian situlah cahaya atau sinaran lampu laser dipanahkan.

Barbaju kasual dengan hoodie berona neon dipadankan bersama pelitup muka yang tidak tanggal daripada wajah, Alan mendendangkan hampir kesemua lagu hitnya termasuklah Lily, The Spectre, Sorry, Darkside dan Faded.

Selain banyak lagu berentak electronic dance music (EDM) di bawah katalognya dimainkan, Alan juga memainkan karya popular penyanyi lain dengan magis meja mixing miliknya seperti Please Don’t Don’t The Music (Rihanna) dan Hymn for the Weekend (Coldplay).

Ketika mengadakan persembahan malam tadi, Alan melahirkan apresiasi buat peminat di Kuala Lumpur dengan mengucapkan terima kasih kerana sudi membanjiri Axiata Arena yang menjadi lokasi persinggah terakhirnya  buat jelajah Walkerverse.

“Terima kasih kerana datang ke persembahan malam ini. Kalian memang menyeronokkan.

“Saya tidak sabar untuk kembali lagi pada masa hadapan ke negara ini. Terima kasih,” ungkapnya.

Alan merupakan YouTuber yang memiliki jumlah pengikut paling ramai di Norway iaitu 44 juta dengan jumlah views atau tontonan tertinggi kira-kira 12.9 bilion.

Pemuzik berusia 26 tahun itu pernah berkolaborasi dengan ramai artis ternama antarabangsa seperti Noah Cyrus, Sabrina Carpenter, Farruko dan Ava Max. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok