Artis lama menang trofi popular bermusim – Nam Ron

PERUBAHAN selera penonton yang cenderung menghargai bintang lama mutakhir ini sehingga dijulang menjuarai kategori popular, aktor hebat Nam Rom menyifatkan senario itu hanya bermusim.

Melihat perkara ini dari sudut berbeza, pemenang trofi Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem ke-29 (FFM29) menerusi filem Reda dan diangkat sebagai Pengarah Terbaik, Festival Filem Antarabangsa ASEAN 2019 (One Two Jaga) itu berkata, ia bukan perubahan seperti yang diperkatakan tetapi kerana faktor tular.

“Sejujurnya perkara sebegini lebih kerana tular, bukanlah sebenar-benarnya perubahan seperti didakwa.

“Macam kita lihat Bell dan Beto Kusyairy dicalonkan untuk anugerah kategori popular baru-baru ini, kita tahu adanya gerakan (pasukan) mereka sendiri yang mahukan seseorang individu itu menang, mesti ada ‘trigger factor’.

“Semuanya tidak diduga, mungkin ada gerakan yang mahu lihat keputusan berbeza dan benda macam ini, kita tidak boleh paksa kerana mereka akan secara tiba-tiba menyokong artis yang ingin dilihat sebagai pemenang,” jelasnya dalam nada serius.

Tambah anak jati Kangar, Perlis itu lagi, kuasa sememangnya di tangan khalayak, namun perkara tersebut tidak akan berpanjangan atau barangkali akan terhenti tahun ini sahaja.

“Saya gembira pelakon berkualiti sudah mula dihargai, sekali gus menangkis dakwaan bahawa anugerah kategori popular hanya untuk mereka yang punya ramai pengikut, namun saya tidak yakin benda ini akan berpanjangan.

“Maksudnya, perkara tersebut tidak akan berlaku lagi pada tahun-tahun seterusnya.

“Mungkin hanya sesekali ataupun sekali itu sahaja, cukup fenomena Mawi dahulu menjadi contoh,” katanya yang bakal muncul dengan filem Walid pada 14 September nanti.

Baca artikel penuh menerusi akhbar Kosmo! atau layari https://kosmo.com.my.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok