All Stars GV paling sengit, RM200,000 jadi rebutan

SEDEKAD bergemerlapan sebagai antara pentas nyanyian terbesar di Malaysia Astro meraikan ulang tahun ke-10 Gegar Vaganza (GV) dengan musim baharu dengan menghimpunkan juara-juara musim terdahulu sebagai peserta.

Dengan barisan semua peserta yang menjadi jaguh sepanjang sembilan musim serta lima pilihan peminat, GV kali ini dijangka lebih sengit.

Kesemua bekas juara yang bertanding termasuklah Ayai Illusi (GV1), Siti Nordiana (GV2), Azharina (GV3), Aishah (GV4), Noryn Aziz (GV5), Naqiu & Hady Mirza (GV6), Cliff Umar (GV7), Aliff Aziz (GV8) dan Jaclyn Victor (GV9).

Lima lagi peserta bakal diumumkan bagi menduduki kerusi ‘Hot Seat’, sekali gus melengkapkan 15 penyertaan bagi musim kali ini.

Lima calon dipilih berdasarkan senarai peserta Top 4 sembilan musim terdahulu dan akan disenaraikan berdasarkan undian ramai bermula hari ini sehingga 10 September ini.

Barisan juri masih diketuai Datuk Ramli MS yang akan didampingi Datuk Syafinaz Selamat (gambar) dan penyanyi ikonik Indonesia, Hetty Koes Endang.

 

All Stars GV juga masih mengekalkan format asal penjurian yang diadili berdasarkan sistem pemarkahan 100 peratus barisan juri profesional.

Watak penting GV iaitu pengacara yang menjadi api pemanas program pula bakal diumumkan secara rasmi pada konsert minggu pertama GV10.

Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad berkata, penganjuran All Stars GV bakal memberi kelainan apabila membuka peluang kepada peminat memilih lima lagi peserta melengkapkan persaingan.

Lebih besar, paling lama

Malah, kata Raqim, tahun ini juga merupakan penganjuran paling lama GV apabila peserta bakal bertanding untuk 12 minggu bermula 24 September ini.

“Bukan mudah nak ajak mereka kembali bertanding. Pujukan sudah bermula sejak tahun lalu, tetapi ini bukan musim terakhir, harapnya.

“Juri dan format GV akan dikekalkan. Kali ini juga, pentas akhir akan berlangsung di pentas lebih besar, Axiata Arena sempena meraikan 10 musim program.

MASIH mengekalkan formal asal penjurian, peserta All Stars Gegar Vaganza diadili berdasarkan sistem pemarkahan 100 peratus barisan juri profesional.

“Peminat juga berpeluang menyaksikan peserta pentas akhir di lokasi yang lebih gah, besar dan berprestij,” jelasnya panjang lebar.

Di kerusi juri, Syafinaz menjangkakan GV ini menjadi pertandingan yang paling sengit dan penjurian pula akan menjadi lebih berbeza.

“Kita tahu semua peserta pernah juara dan menyanyi sangat bagus, mereka ini kalau kita bandingkan seolah-olah seperti barisan cef terkenal, Michelin Star Chef.

“Masakan mereka memang semuanya, jadi kita kena tengok bukan pada rasa sahaja, tapi ada rupa, persembahan, teknik. Ini pasti lebih menarik.

“Aspek pemarkahan perlu lebih tegas, jangkaan sangat tinggi memandangkan mereka sudah pun bergelar juara,” katanya.

Konsert mingguan GV10 akan mula bersiaran secara langsung dari Dewan Auditorium MBSA Shah Alam setiap Ahad, pukul 9 malam bermula 24 September depan menerusi Astro Ria.

Juara GV10 akan membawa pulang wang tunai bernilai RM200,000 beserta trofi sumbangan Astro.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok