IMPIAN Alif Satar untuk menawan Dewan Filharmonik Petronas (DFP) akhirnya dapat dilunaskan selepas lebih 17 tahun bergelar anak seni.
Momen indah itu disaksikan hampir 1,000 penonton dalam dan luar negara menerusi konsert Lochestra: Alif Satar & The Locos with the Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) pada 26 Ogos lalu.
Bagai bulan jatuh ke riba, peluang tersebut diguna sebaiknya dengan sajian hiburan berkualiti buat penonton menikmati mahakarya kumpulan terbabit.
Tepat pukul 8.30 malam, kemunculan Alif Satar atau nama lengkapnya Muhammad Alif Mohd. Satar bersama The Locos disambut tepukan gemuruh penonton yang sudah lama menunggu detik itu berlaku.
Konsert berdurasi hampir dua jam itu dinikmati sebaiknya penonton yang boleh dikatakan tenang dan tidak berlebih-lebihan, barangkali menghormati kemegahan DFP, namun keterujaan terserlah di wajah masing-masing.
Repertoire persembahan terisi dengan dendangan popular seperti Hey, Cukup Indah, I Want You To Love Me diikuti dengan lagu-lagu hitsnya yang pernah mencipta fenomena seperti Jangan Nakal dan Akan Tiba.
Khalayak sedar rantaian lagu hits kumpulan dibarisi lima lelaki itu bakal membawa mereka ke terowong masa, seiring imbasan semula kisah zaman remaja yang mungkin pernah tertawa dengan nuansa setiap lirik lagu.
Alif melantunkan 15 dendangan termasuk lagu hits yang pernah menjadi fenomena termasuk alunan dua lagu baharu mereka berjudul Toxic dan Lelaki Tak Sempurna.
Berbekalkan kehandalan bermain muzik anggota kumpulan iaitu Tam Cobain (gitar), Efry Arwis (bass), Faliq Auri (saksofon) dan Rajwan Juni (dram) bersulam bunyian megah iringan orkestra profesional, malam tersebut bagai membawa penonton ke dimensi bunyi-bunyian sakti.
Baca artikel penuh menerusi akhbar Kosmo! atau layari https://kosmo.com.my.