Ajai tak campur rajuk bekas isteri, anak

KOMPOSER terkenal Ajai enggan campur perselisihan faham membabitkan bekas isterinya, Nourul Wahab dan puteri mereka, Ayu Nazirah yang disifatkan rajuk biasa antara ibu anak.

Katanya, jauh hati dan berselisih faham adalah perkara normal membabitkan kedua-duanya yang sebelum ini pernah tidak bertegur sapa lebih setahun.

“Bagi saya hal yang dibangkitkan dalam media sosial adalah isu peribadi antara ibu dengan anak dan sebenarnya ini pun bukan perkara baharu.

“Biasalah kalau Ayu bergaduh dengan maknya, dia akan mengadu kepada saya dan kalau merajuk dengan saya, dia mengadu pula pada maknya,” katanya ketika ditemui pada sidang media Exists X Orkestra semalam.

Begitupun, sebagai seorang bapa, Ajai atau Mohd. Faizal Maas, 48, sudah menasihatkan Ayu supaya berbaik dengan ibunya itu.

“Walaupun tak masuk campur, saya pujuk Ayu supaya cepat-cepat minta maaf kerana apa pun jadi kita kena hormat ibu kerana dia syurga kamu,” tambahnya.

Terdahulu, Nourul meluahkan perasaan terkilan seolah-olah puteri sulungnya itu membelakangkan dirinya dalam hantaran bersempena ulang tahun Ayu yang ke-25, baru-baru ini.

Penyanyi Kerana Terluka itu seperti berkecil hati dengan tindakan gadis tersebut apabila menyatakan wanita dalam gambar dikongsikan sudah mati.

Pendedahan terbuka itu mencetuskan spekulasi hangat dengan pelbagai persoalan netizen yang cuba meneka ‘ibu baharu’ dimaksudkan Nourul.

Pada masa sama, Ajai urut menafikan status ibu baharu yang disebut Nourul merujuk kepada isterinya sekarang, Liza Illias.

“Bukan, dia bukan maksudkan individu tersebut isteri saya sekarang, Liza. Itu orang lain,” katanya lagi.

Ayu merupakan zuriat hasil perkahwinan pemilik nama lengkap Noorulhuda Abdul Wahab, 46, dengan Ajai, namun mereka berpisah pada 2007.

Penyanyi itu kemudian mendirikan rumah tangga dengan Eric Daniel Depp pada 2012 dan dikurniakan tiga cahaya mata, Zachary Depp, 10, Raphael Depp, 8, dan Isabella Depp, 4 tahun. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok