Aisha, Syafiq hidupkan kegemilangan Stevie Wonder

TERPANA. Gambaran tersebut cukup untuk menterjemah keseluruhan persembahan konsert jazz, The Music Of Stevie Wonder yang berlangsung di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) baru-baru ini.

Tepat pukul 8 malam, pentas DFP dibuka dengan persembahan medley orkestra oleh Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) Jazz Band dipimpin pengarah muzik Marques Young yang juga pemain trombon pada malam tersebut dengan mendendangkan lapan buah lagu popular milik penyanyi legenda dunia, Stevie Wonder.

Love’s In Need Of Love Today, My Cherie Amor, Another Star dan Secret Life Of Plants antara lagu yang dialunkan sebagai persembahan pembuka pentas.

Persembahan tersebut ibarat membuatkan ‘roh’ muzik Wonder mula menyerap dalam jiwa sekali gus mula membuai emosi dan membawa penonton ke zaman kegemilangan penyanyi kelahiran Amerika Syarikat itu.

Tidak berlama-lama, penyanyi kelahiran Brunei, Syafiq Abdillah muncul dengan persembahan pertama mendendangkan lagu Sir Duke dan I Wish yang kedua-duanya dilancarkan Wonder sekitar 1976.

Sempat berkongsi, Syafiq berkata, dia mula didedahkan dengan karya-karya seni milik Wonder sejak kanak-kanak kerana ibunya sangat meminati penyanyi itu.

“Dulu saya tidak tahu apatah lagi kenal siapa Wonder.

“Ibu yang memperkenalkan kepada saya. Sehingga hari ini, lagu Wonder menjadi sangat istimewa buat diri saya,” kata bekas peserta Big Stage 2022 itu.

Muncul menerusi lagu Overjoyed, kehebatan vokal Aisha sebagai penyanyi baharu sememangnya tidak perlu dipertikaikan lagi.

Aisha atau nama penuhnya Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam terus memukau ramai dengan persembahan bertenaga menerusi lagu Don’t You Worry ‘Bout a Thing yang dipetik daripada album ke-16 Wonder iaitu Innervisions pada 1974.

Sebelum menutup segmen kedua, Aisha sempat melahirkan rasa bangga kerana diberi kepercayaan untuk terlibat dalam sebuah konsert yang mengangkat karya-karya hebat milik Wonder.

“Ini sebuah penghargaan buat saya. Berada di atas pentas ini dan dapat bekerjasama dengan Young adalah satu momen membanggakan,” ujarnya.

GANDINGAN Aisha dan Syafiq seolah-olah tiada cela sewaktu konsert The Music Of Stevie Wonder sehingga mendapat pujian ramai.

Segmen kedua

Memasuki babak kedua, MPO sekali lagi tampil dengan alunan muzik medley enam buah lagu Wonder seperti Living For The City, Birds Of Beauty, All I Do dan Rocket Love.

Usai menggamit memori dengan persembahan medley, penonton mula dihiburkan kembali dengan nyanyian bertenaga oleh Syafiq yang membawa lagu Golden Lady dan Superwoman.

Enggan membiarkan penonton tertunggu-tunggu, Aisha sekali lagi memukau ramai dengan kehebatan vokalnya menerusi tiga buah lagu antaranya These Three Words dan Part Time Lover.

Ternyata vokalnya mampu sebati dengan lagu-lagu Wonder selain membuktikan dia penyanyi yang versatil.

Kemuncak acara, Syafiq dan Aisha tampil membuat kejutan dengan mendendangkan Master Blaster bergenre reggae sebagai penutup persembahan sebelum meraih tepukan serta sorakan gemuruh daripada lebih 800 penonton yang hadir.

Tidak berlebihan sekiranya menyatakan setiap persembahan pada malam tersebut membuatkan para penonton tidak menoleh kiri atau kanan ditambah pula dengan kehebatan vokal Aisha dan Syafiq.

Selain itu, susunan muzik dan lantunan nyanyian termasuk para penyanyi latar semuanya cukup rasa. Hasilnya cukup membuatkan para penonton yang membeli tiket pulang dengan senyuman puas. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok