Aeril Zafrel riak kekayaan? Ini jawapan tuan badan

PELAKON, Aeril Zafrel malas melayan kerenah segelintir individu yang mendakwanya suka menunjuk kekayaan apabila kerap berkongsi momen memberi hadiah mewah kepada isteri dan anaknya.

Kata Aeril yang juga ahli perniagaan, lebih teruk apabila ada dalam kalangan netizen mempertikaikan kekayaannya sedangkan kesenangan diperoleh itu adalah hasil usaha keras lebih tujuh tahun.

“Mereka yang dakwa kami hidup mewah sekelip mata sebenarnya tak tahu kesusahan yang pernah kami tempuh sebelum ini membina perniagaan dari kosong hingga berdirinya empayar Wawa Cosmetics.

“Tak dapat dikira berapa banyak bisnes kami cuba, jual baju, tudung, kanta lekap sampailah Wawa Cosmetics yang kami usahakan pada 2016.

“Masa gagal, menangis tanggung rugi memang orang tak nampak. Jadi, apabila ada suara mempertikaikan kesenangan ini, saya malas ambil pusing,” katanya kepada HibGlam.

Bagi menjaga kesihatan mental, suami kepada Wawa Zainal itu memilih tidak membaca komen dalam media sosial yang disifatkan sebagai tindakan terbaik.

“Saya tak baca komen kalau terjadi perkara yang mengundang kecaman bagi mengelakkan emosi terganggu.

“Sebagai penggiat seni, saya tahu kita tak terlepas daripada pandangan skeptikal, cuma kalau kecaman melampau memang tak perlu dilayan. Saya mahu dilingkungi aura positif,” katanya.

Menurut aktor berusia 35 tahun itu, setiap momen hari istimewa dikongsi di laman sosial untuk disimpan sebagai kenangan, selain menyuntik motivasi.

Sebelum ini, perkongsian Aeril atau nama sebenarnya Suhairil Sunari menghadiahkan kereta mewah jenama Brabus 900 Rocket Edition yang dianggarkan bernilai lebih RM2.4 juta kepada isterinya, Wawa Zainal meraih perhatian ramai.

Pada masa sama, dua permata hati mereka yang masih kecil turut terkena tempias kecaman apabila didakwa kerap dimewahkan dengan hadiah mahal. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok