Adami Hairi pertaruhkan Angauku Mekar

SELEPAS menuai sukses dengan single berjudul Forte dan Legato, penyanyi Adami Hairi kini mengorak langkah apabila muncul dengan buah tangan baharu berjudul Angauku Mekar.

Tidak pernah lelah untuk mengukuhkan namanya, Adami atau nama lengkapnya Mohamad Hairi yakin dengan kualiti seni muziknya.

Jika hendak dibandingkan namanya dengan penyanyi tempatan lain, Adami sedar kedudukannya mungkin jauh ketinggalan namun, tetap bersyukur masih berpeluang mencari rezeki dalam industri yang penuh pancaroba.

“Saya akui kurang menyerlah. Tetapi jemputan untuk membuat persembahan pentas tetap berjalan seperti biasa.

“Saya bukan tidak aktif sebagai penyanyi. Cuma saya perlu membahagikan masa antara kerjaya nyanyian dengan tugas hakiki sebagai penjawat awam.

“Bagi mereka yang mengikuti saya dalam media sosial pasti tahu aktiviti seni yang saya kongsikan setiap hari,” ujar Adami, 32.

ANGGAP diri masih ‘hijau’ dalam industri seni tanah air, Adami tidak pernah meletakkan harga untuk persembahan.

Walaupun sudah bergiat aktif dalam industri sebagai penyanyi sejak berusia 18 tahun lagi, anak kelahiran Melaka itu menafikan terlalu ‘demand’ menjadi punca dia sukar dikenali peminat.

Kata Adami, dia tidak pernah sama sekali meletakkan harga bayaran untuk membuat persembahan, kerana sedar namanya sebagai penyanyi tidaklah sebesar mana.

“Saya tidak pernah meletakkan harga bayaran. Walaupun saya sudah menyanyi sejak berusia 18 tahun lagi, saya sama sekali tidak pernah ‘bermain’ dengan harga.

“Lagi pun saya  menganggap diri masih baharu dalam industri. Apa sahaja tawaran yang datang, saya akan terima sahaja kerana percaya pada rezeki.

“Saya sedar kedudukan saya dalam industri dan masa sama perlu bersaing dengan ramai penyanyi baharu yang lain,” ujarnya.

Berbicara tentang single baharunya, Angauku Mekar yang menjadi taruhan untuk 2023, penyanyi yang pernah menyertai pertandingan Radio Klasik RTM pada 2017 itu berkata, lagu tersebut mempunyai keunikan tersendiri dan berbeza dengan dua single yang pernah dirakamkan sebelum ini.

Angauku Mekar merupakan sebuah lagu yang dicipta oleh komposer muda, Faez Farhan dan Iman Zain.

“Genre lagu kali ini agak berbeza dengan lagu terdahulu. Untuk Angauku Mekar, lagu ini dicipta mengikut aliran pendengar masa kini.

“Rentak lagu ini juga kedengaran agak catchy dan mudah untuk diterima oleh semua golongan. Bahkan bait liriknya juga mudah untuk diingati,” jelas Adami yang kini bernaung di bawah label Green House Production.

Pada masa sama, dia berharap Angauku Mekar dapat diterima baik pendengar, sama seperti dua lagi lagunya terdahulu iaitu Forte dan Legato.

“Saya sebenarnya tidak mahu meletakkan harapan terlalu tinggi, tetapi cukuplah kalau lagu ini mendapat tempat di hati pendengar, sama seperti dua lagu terdahulu,” katanya.

Angauku Mekar merupakan sebuah lagu berentak pop yang mengisahkan tentang seorang lelaki yang bertemu kasih dengan gadis idamannya.

Kehidupan kedua-dua pasangan itu dilalui dengan cukup bahagia, namun akhirnya tersedar bahawa semua yang dinikmati itu sekadar mimpi. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok