Zikir Terapi berkumandang di Zepp KL 16 September

MEMILIH Zepp Kuala Lumpur sebagai gelanggang, Konsert Mega Zikir Terapi yang berkonsepkan spiritual bakal berlangsung pada 16 September ini.

Sengaja menyemarakkan Hari Malaysia dengan hiburan kerohanian, persembahan mega ini akan disertai 19 selebriti termasuk Lan Solo, Zehra Zambri, Fedtri Yahya, Aniq Muhai, Hafiz Hamidun Ustaz Tarmizi, Ustazah Sofiza dan kumpulan Rabithah.

Pengarah konsert, Fitri Haris berkata, objektif utama adalah mendekatkan lagi genre nasyid serta seumpamanya yang bersifat universal serta boleh mendidik masyarakat.

“Jika dalam muzik itu dibawakan mesej-mesej yang baik dan murni, saya yakin elemen diketengahkan menjadi lebih bermakna terutama buat generasi seterusnya.

“Saya yakin muzik mampu memberikan manfaat dalam membentuk sahsiah diri, sekali gus tidak lagi dipandang serong terutama dalam kalangan anak-anak pewaris bangsa,” katanya kepada HibGlam.

PENYANYI nasyid yang juga pensyarah, Fitri Haris menggalas tanggung jawab sebagai Pengarah Konsert Mega Zikir Terapi.

Menampilkan zikir sebagai teras Konsert Mega Terapi, Fitri yang juga Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan Universiti Utara Malaysia berkata, zikir mempunyai kelebihan tersendiri apabila dialunkan.

“Kelebihan alunan zikir ini juga antara terapi yang mempunyai kaitan dengan psikoterapi apabila penonton bakal dibawa ke satu dimensi dan menikmati satu pengalaman luar biasa.

“Saya berharap konsert ini dapat memberi impak dan mencipta momen ketenangan yang menyentuh serta membangkitkan jiwa,” ujarnya.

Konsert Mega Zikir Terapi dianjurkan Niyat dengan beberapa rakan strategi memdapat sokongan Geran Dana Kandungan Digital My Creative Venture dan Kementerian Komunikasi Digital (KKD) serta penaja utama iaitu Cinta Gaza Malaysia.

Mendapat sentuhan Pengarah Susunan Seni, Hafiz Hamidun yang sinonim dengan zikir terapi serta pernah memenangi Susunan Vokal terbaik dalam lagu di  Anugerah Industri Muzik Malaysia.

“Konsert ini juga akan diiringi persembahan muzik ‘live band’ dari kumpulan Chaan dan Leman Band bersama gabungan elemen tradisional, moden dan fusion.

“Walaupun zikir dianggap bahan berat untuk dipentaskan, penonton disaran merasai sendiri gabungan bunyi serta mesej jika dibawa akan menyuntik pengalaman luar biasa,” kata Fitri lagi.

Sementara itu, pembeli tiket bertuah berpeluang membawa pulang hadiah pakej Umrah Ekonomi bernilai RM7,990 tajaan Legasi Travel & Tours.

“Pembeli dalam semua kategori layak memenangi satu-satunya hadiah pakej umrah yang akan dicabut pada malam konsert,” kata Fitri.

Pembeli tiket bertuah akan menerima hadiah pakej umrah bernilai RM7,990 tajaan Legasi Travel & Tours.

Jualan tiket bermula pada 10 Ogos lalu menerusi laman sesawang http://t2u.asia/e/32067.

Empat kategori ditawarkan iaitu Zon Platinum berharga RM171.40; Gold (RM140.20); Silver (RM109) dan tempat duduk Bronze (RM77.80).

Manakala harga tiket bagi tempat duduk di dek aras atas hanya untuk dua zon sahaja iaitu Gold (RM140.20) dan Silver (RM109). – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok