[VIDEO] Saya menyanyi sebelum datang mahkamah – Diana Danielle

Saya tidak stres dan menyanyi-nyanyi sebelum datang mahkamah.”

Itu respons pelakon, Diana Danielle yang tidak meletakkan sebarang tekanan terhadap dirinya mengenai keputusan perceraian dengan suaminya, aktor Farid Kamil di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Shah Alam, hari ini.

Diana, 32, juga akan menerima apa sahaja keputusan mahkamah dan ketentuan Tuhan berkaitan rumah tangganya dengan hati terbuka.

Saya tidak mempunyai sebarang harapan dan enggan meletakkan jangkaan untuk prosiding perceraian hari ini.

“Dengan hati terbuka, saya akan terima apa sahaja. Akan ikut sahaja aturan dan ini semua ketentuan dan enggan bercakap lebih-lebih,” katanya kepada HibGlam.

Menurut Diana, pergolakan rumah tangganya sudah lama berlarutan dan tiada keperluan untuknya bersedih serta menangis.

Tiada alasan untuk berasa tertekan, perkara sudah berlarutan selama berbulan-bulan. Saya juga enggan paksa diri untuk bersedih walaupun ada rasa tersebut.

“Selain itu, semua komunikasi antara saya dan Farid setakat hari ini hanya melalui peguam kami,” ujar bintang filem Imaginur itu.

Bagaimanapun, kelibat Farid tidak kelihatan di mahkamah hari ini dan hanya diwakili peguamnya, Fakhrul Azman Abu Hassan.

Prosiding hari ini juga bakal berlangsung secara atas talian iaitu menerusi aplikasi Zoom.

Isnin lalu, peguam syarie mewakili Diana, Datuk Akberdin Abdul Kader memberi bayangan kemelut rumah tangga pasangan selebriti berkenaan dijangka menemui titik noktah hari ini dan semua kes berkaitan perceraian bakal diselesaikan secara menyeluruh.

Terdahulu, pergolakan rumah tangga pasangan terbabit mula tercetus selepas Diana memfailkan cerai pada 10 Mac di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari.

Dalam pemohonan cerai itu, Diana sebelum ini mendakwa tiada persefahaman, berlaku shiqaq (perbalahan yang berpanjangan) selain tidak lagi dapat hidup bersama sebagai suami isteri antara alasannya untuk bepisah.

Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012. Pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad, 10, dan Nur Aurora kini berusia lapan tahun. – HIBGLAM

 

View this post on Instagram

 

A post shared by HibGlam (@hibglam.com.my)

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok