[VIDEO] Azwan Ali bersyukur telah pulih, dinasihat jangan berdendam

SELEPAS menjalani rawatan alternatif bersama seorang pengamal perubatan Islam semalam, pengacara sensasi Azwan Ali bersyukur apabila diberitahu keadaannya telah pulih 100 peratus akibat perbuatan sihir.

Azwan atau lebih mesra membahasakan diri Diva AA ketika menghubungi HIBGLAM berkata, dia tekad untuk berjumpa dengan ustaz terbabit selepas dihubungi seorang wanita dari Ipoh, Perak yang menyarannya untuk berubat di pusat perubatan Islam Al- Mujahidin milik ustaz tersebut di Air Molek, Melaka.

“Seorang wanita tidak dikenali dari Ipoh, Perak telah menyarankan saya untuk berjumpa dengan ustaz terbabit. Kebetulan pula ketika itu memang saya berada di Melaka atas urusan kerja.

“Saya tekad untuk bertemu dengannya selepas sekali lagi ‘diserang’ dengan teruk akibat perbuatan sihir ketika menginap di salah sebuah hotel di Banda Hilir, Melaka. Pekerja-pekerja di hotel itu menjadi saksi saya diganggu sehingga tidak boleh berjalan,” katanya.

Ketika menerima rawatan, pengamal perubatan alternatif yang dikenali sebagai Ustaz Din itu telah membacakan ayat suci al-Quran dan melakukan beberapa perkara untuk memulihkan keadaanya.

Sempat berkongsi saranan dan nasihat, ustaz terbabit turut meminta Azwan untuk membuang rasa dendam terhadap individu yang telah melakukan khianat itu sehingga jatuh sakit.

“Ustaz Din berpesan kepada saya, jadilah seperti Nabi Muhammad SAW. Walaupun baginda dibaling dengan Najis, beliau tetap memaafkan si pelaku.

“Saya diminta untuk buang rasa dendam. Sebagai manusia biasa, tentu sukar untuk saya berbuat demikian. Tapi saya sedar ruang, siapa saya.

“Saya hanya mahu maju ke depan dan berjaya dunia akhirat. Kita jumpa di akhirat. Terima kasih kerana membenci saya, terima kasih kerana menyihir saya,” katanya.

Walaupun telah pulih, pengacara itu mengakui badannya masih lemah dan akan meneruskan sesi rawatan sehingga benar-benar pulih.

“Saya masih lagi lemah dan akan terus berubat sehingga betul-betul pulih. Kepada pengikut-pengikut saya, terima kasih kerana selalu mendoakan kesembuhan saya,” ujarnya.

Dalam pendedahannya sebelum ini, Azwan memberitahu telah jatuh sakit akibat disihir seseorang sehingga menyebabkan badannya panas seperti dibakar selain tidak berupaya untuk berjalan.

Kata Azwan, gangguan yang sering berlaku  pada waktu tengah malam sehingga menjelang subuh itu turut membuatkan dirinya gelisah sehingga jadi tidak tentu arah. – HIBGLAM

 

View this post on Instagram

 

A post shared by HibGlam (@hibglam.com.my)

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok