Undang Ira Kazar, Aliff Syukri dikecam

“Sengaja cari publisiti murahan.”

Itu antara komen yang membanjiri akaun TikTok usahawan sensasi, Datuk Aliff Syukri apabila isteri kepada pengarah, Syamsul Yusof iaitu Ira Kazar muncul sebagai tetamu jemputan dalam siaran langsungnya semalam.

Menerusi siaran langsung tersebut, Ira atau nama penuhnya Faghirah Fatini Kazaruddin, 28, dijemput sebagai tetamu dan dia juga turut memperagakan tudung dari jenama Aliff.

Paling mencuri perhatian ramai dalam beberapa video tular adalah persoalan yang diajukan Ira kepada Aliff tentang pendekatan usahawan itu berdepan dan mengendalikan kecaman netizen.

“Macam mana Datuk berhadapan dengan kecaman orang,” soal Ira ringkas dalam keadaan tersipu malu.

Selain itu, jawapan Ira terhadap soalan spontan Aliff mengenai surah yang sering diamalkan ketika berhadapan waktu sukar turut mencuri perhatian ramai.

Namun tiada jawapan yang diberikan Ira dan bahkan enggan berkongsi mengenai surah tersebut kepada umum.

“Rahsia.

“Saya juga tiada ucapan, apa pun terima kasih sudi menonton ‘live’ kami” jawab anak pelakon senior, Kazar Saisi itu.

Turut bersama dalam siaran langsung tersebut ialah anak kedua Aliff iaitu Qadejah El Zahra.

Sementara itu, rata-rata netizen menyifatkan Aliff sengaja mencari publisiti murahan selain mengundang rasa kurang senang ramai dengan menjemput Ira yang sehingga kini masih menjadi mangsa kecaman umum.

“Kenapa Ira? Tak jadilah nak sokong dan beli tudung Datuk.

“Tak minat nak beli dan kenapa ambik Ira sebagai model?” komen netizen.

Sehingga hari ini, Ira masih menjadi mangsa kecaman ramai selepas dikatakan menjadi punca keruntuhan rumah tangga pasangan selebriti Puteri Sarah Liyana dan Syamsul.

Ira dan Syamsul selamat bergelar suami isteri dalam sebuah majlis serba ringkas di Thailand pada Januari lalu. – KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok