[VIDEO] Umum bersara, Hairul Azreen mahu fokus keluarga, bisnes

PELAKON terkenal, Hairul Azreen mengejutkan banyak pihak apabila mengumumkan akan bersara daripada dunia lakonan selepas 15 tahun mencipta nama dalam industri seni tanah air.

Katanya, Malbatt: Misi Bakara yang bakal menemui penonton di pawagam bermula 24 Ogos ini merupakan filem terakhir lakonannya.

Pengumuman tersebut disuarakan Hairul ketika menjadi tetamu segmen 3 Pagi Era bersama Halim Othman dan Linda Onn yang turut dikendalikan bersama Radin serta Azad Jasmin, pagi tadi.

Menurut aktor itu, sebagai anak seni yang sudah puas meneroka pelbagai cabang seni, keputusan itu diambil demi kebaikan diri dan keluarganya.

“Saya nak mengumumkan saya akan berhenti berlakon untuk kebaikan. Saya sudah buat semua benda.

“Saya pernah jadi pelakon tambahan, pelakon dan pelakon lagak ngeri. Saya nak jadi hero filem, Allah makbulkan saya jadi hero filem aksi. Bahkan filem lakonan saya, Paskal berjaya tarik 40 peratus penonton untuk jadi tentera.

“Malbatt: Misi Bakara merupakan kemunculan terakhir saya sebagai pelakon dan tentera. Biarlah saya akhiri perjuangan dengan filem yang membanggakan saya,” katanya.

HAIRUL bersama barisan pelakon filem Malbatt: Misi Bakara yang menjadi kebangaannya.

Tambah pelakon berusia 35 tahun itu, selain mendedikasikan diri sebagai pelakon dia juga aktif dengan kerja-kerja belakang tabir termasuklah mengarah dan menerbit selain bertindak selaku pelabur.

Justeru, sudah sampai masa untuknya berundur dan memberikan tumpuan kepada keluarga tercinta serta perniagaan.

“Allah dah bagi saya macam-macam, saya manusia yang tidak tahu bersyukur. Ada orang tak sempat tengok ibu bapa dan lihat anak membesar sebab sibuk bekerja. Alhamdulillah, saya masih ada ibu.

Membintangi filem menuntut saya fokus dengan penggambaran selama enam bulan. Untuk buat badan sahaja, seminggu enam kali, pagi petang malam. Sedar-sedar anak dah besar, anak dah pergi sekolah. Saya tak sempat luangkan masa dengan mereka.

“Saya dah dapat semua dan sudah puas dengan apa yang saya buat. Cukuplah,” katanya.

Ditanya adakah isterinya, Hanis Zalikha bersetuju dengan keputusan itu, Hairul berkata suri hidupnya tidak menghalang bahkan dia sudah lama mencongak baik buruk keputusan berkenaan.

“Hanis setuju, dia pun sudah lama tak berlakon. Selepas ini kami akan fokus kembangkan bisnes.

Sudah lama saya fikir perkara ini dan sebab itulah saya buat yang terbaik dalam setiap filem. Biar dunia dan Malaysia nampak seterusnya menghargai pengorbanan pelakon. Sudah banyak tulang saya patah ketika berlakon.

“Saya mahu karya kita dihargai dan orang bangga dengan tentera Malaysia. Itu harapan saya andai sudah tiada suatu hari nanti,” katanya.

Pengumuman dibuat Hairul itu menuai pelbagai reaksi rakan artis dan peminat sebaik sahaja di kongsi dalam Instagram dan TikTok.

Rata-rata menzahirkan rasa terkejut malah ada yang tidak percaya aktor terbabit akan menamatkan karier seninya.

Pun begitu, ada juga yang memahami keputusan diambil Hairul dan mendoakan pelakon kesayangan mereka itu berjaya dengan jalan yang dipilih.

“Antara sikap terpuji, berundur ketika dipuncak demi keluarga. Semoga Allah sentiasa merahmati,” tulis peminatnya.

“Chaaaaa apakah ini @hairulazreen,” tulis pelakon Syazwan Zulkifly.

“Weii serius la bro! Tak ada peluang dapat fight (bertarung) dengan you (awak) lagi,” komen pelakon Andy Teh.

“Lain cara pikir dia. Salute! Nampak dia tak tamak untuk kejar populariti dan wang. Dia cukup dengan apa yang dia sudah buat,” tulis netizen.

Sebagai rekod, Hairul menyunting pelakon Hanis Zalikha sebagai isteri pada 2015 dan pasangan sama cantik sama padan ini dikurniakan dua cahaya mata, Yusuf Iskandar, 6 serta Alisa Aisyah, 3′. – HIBGLAM

 

View this post on Instagram

 

A post shared by ERA – Muzik Hit Terkini (@era.je)

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok