Tiada pujukan, rujuk buat masa ini – Farid Kamil

Tiada perancangan untuk rujuk kembali dalam tempoh idah.

Itu pendirian pelakon, Farid Kamil yang bercerai talak satu dengan aktres Diana Danielle pada 10 ogos lalu.

Menurut Farid, 42, dia menyerahkan semua ketentuan hidupnya kepada Tuhan dan menerima semua takdir dengan hati yang reda.

“Jodoh dan maut itu ditangan Allah dan saya tidak tahu apa perancangan Tuhan malah cuma menjalani semua ini dengan berlapang dada.

Untuk proses memujuk atau rujuk, buat masa ini tidak ada,” katanya kepada Kosmo! Online selepas prosiding tuntutan hadanah di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, Shah Alam semalam.

Terbuka berkongsi kehidupan dengan berstatus duda, dia percaya dengan semua ketentuan Tuhan yang sudah diaturkan buatnya sejak azali lagi.

“Sebenarnya masa depan ini telah tertulis sejak awal lagi dan setiap yang ditakdirkan saya terima sahaja.

Kehidupan sendiri, Ini pengalaman yang baru. Saya perlu tempuhi dengan reda dan kerelaan hati namun apa yang pasti saya tahu saya tetap disayangi.

“Sukar? Mula-mula saya hidup sendiri, bersama dan kini kembali solo. Ini satu perjalanan hidup yang sudah tertulis dan hanya menghadapinya dengan tenang,” jelasnya.

Ditanya tentang penglibatan dalam beberapa majlis agama baru-baru ini, pelakon filem Anwar: The Untold Story itu mengakui baru sahaja selesai menyertai program suluk.

Suluk bermaksud mendekatkan diri dengan Tuhan menerusi cara seperti pengasingan diri untuk bertafakur.

“Alhamdulillah, saya baru selesai sertai program bersuluk.

Saya rasa itulah taufik dan hidayah yang diperolehi selepas apa yang berlaku (perceraian),” jawabnya ringkas.

Semalam, Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam menetapkan hak penjagaan penuh dua anak Farid iaitu Muhammad, 10, dan Aurora, 8, menjadi milik Diana.

Bagaimanapun, Farid masih diberikan hak lawatan anak mengikut perjanjian secara global yang sudah dipersetujui kedua belah pihak.

Terdahulu, Farid dan Diana sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari pada 10 Ogos lalu.

Farid melafazkan cerai talak satu di hadapan Hakim Syarie, Shukran Yusof menerusi aplikasi Google Meet memandangkan dia mengalami masalah kesihatan kesan jangkitan Covid-19.

Pada 10 Mac lalu, Diana memfailkan permohonan cerai mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003, di mahkamah sama.

Alasan diberikan pelakon filem Imaginur itu ialah tiada persefahaman, sudah berlaku shiqaq atau perbalahan berpanjangan serta tidak dapat lagi hidup bersama sebagai suami isteri

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok