Tiada istilah bersara, Aeril Zafrel bawa 40 pekerja ke Korea

PELAKON dan usahawan, pelakon dan usahawan, Aeril Zafrel melakar memori manis apabila mengungguli kategori Celebrity of The Year dalam acara TikTok Award Malaysia 2023 yang berlangsung malam tadi.

Tidak putus menzahirkan rasa syukur, suami kepada pelakon yang juga ahli perniagaan, Wawa Zainal itu mengakui sama sekali tidak menyangka rezeki akan berpihak kepadanya.

“Jujur, saya tak sangka menang. Saya cuma buat tiga video sahaja untuk ‘berkempen’.

“Sebenarnya saya tidak menyangkal platform TikTok banyak membantu dalam bidang perniagaan. Saya sangat bersyukur,” jelasnya.

Dengan kemenangan yang diperoleh malam tadi, Aeril yag mendapat jolokan CEO TikTok turut mengumumkan berita gembira apabila bakal membawa 40 orang kakitangannya bercuti ke Korea Selatan pada Oktober nanti.

“Saya mahu buat pengumuman bahawa saya akan membawa kakitangan saya (40 orang) ke Korea! Insya-Allah perancangannya pada bulan Oktober nanti.

“Saya memilih Korea kerana cuaca di sana pada bulan 10 tidak terlalu sejuk. Lagi pun ramai kakitangan saya tidak pernah ke Korea sebelum ini,” ujarnya ketika ditemui Hibglam pada acara itu.

Selain itu, Aeril atau nama lengkapnya Suhairil Sunari  mengakui tidak merancang untuk bersara dalam bidang lakonan walaupun sudah hampir setahun terpaksa menolak tawaran berlakon kerana terlalu sibuk dengan perniagaan yang diusahakan.

Tegasnya, tidak pernah terlintas di fikiran untuk berundur kerana bidang seni merupakan titik permulaan hidupnya sehingga berada ditahap hari ini.

“Kejayaan saya hari ini bermula dengan kerjaya sebagai selebriti (pelakon). Jadi saya tidak mahu meninggalkan ‘asas’ saya.

“Walaupun sudah berada di satu tahap berbeza suatu hari nanti, saya tetap akan berlakon,” kongsinya.

Jejaka berusia 34 tahun itu turut mengakui rindu untuk kembali berlakon apabila terikat dengan komitmen sebagai ahli perniagaan dan pempengaruh aplikasi TikTok.

“Bila sudah sibuk dengan perniagaan dan bergelar ‘TikTokers’ sepenuh masa, rindu terhadap bidang lakonan itu ada.

“Namun, apabila mengenang semula tanggungjawab yang perlu diberi perhatian, saya kena dahulukan mana yang penting.

“Lagipun, saya sudah ada 40 kakitangan dalam bidang perniagaan. Jadi, satu kerumitan juga kalau saya tinggalkan mereka untuk fokus dengan perkara lain (lakonan),” jelasnya.

Selain faktor kekangan masa, bapa kepada empat cahaya mata itu kini lebih selektif sebagai pelakon.

“Sekarang saya lebih melihat jenis karya dan dengan siapa saya akan bekerjasama. Jadi terpulang pada saya sama ada mahu buat atau tidak.

“Bila sudah sampai satu tahap, saya hanya mahu dikelilingi dengan orang-orang yang saya selesa,” ujarnya yang teringin menjayakan filem bercorak ketenteraan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok