The Music Of Stevie Wonder satukan Aishah, Young, Shafiq

MENGHARGAI karya seni bintang ternama Amerika Syarikat, Stevie Wonder, Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) membawakan konsert jazz, The Music Of Stevie Wonder pada 9 September depan.

The Music Of Stevie Wonder bakal dipimpin pengarah muzik Amerika Syarikat, Marques Young, pemain trombon MPO yang pernah melakar kejayaan bersama beberapa kumpulan orkestra.

Menghangatkan lagi persembahan berdurasi 90 minit itu, MPO menampilkan vokalis Aisha Retno dan Shafiq Abdilah di pentas Dewan Filharmonik Petronas (DFP).

Enggan mensia-siakan peluang, Young komited menjayakan konsert tribute buat Stevie Wonder yang memberi banyak inspirasi kepada pemuzik dunia termasuk dirinya.

Saya bekerja keras demi memberikan persembahan unik dan sajikan sesuatu yang anda tidak pernah tonton.

“Selain itu, saya cuba banyak aspek dan jenis persembahan sama seperti semangat Stevie,” katanya dengan teruja.

PELUANG menjayakan konsert di DFP satu pengalaman bermakna buat tiga figura seni ini. – FOTO M Firdaus M Johari

Berbeza dengan Young, kedua-dua vokalis yang akan menjayakan konsert jazz itu berkongsi keterujaan beraksi di DFP buat julung kalinya.

Bagi Aisha, tampil di gelanggang berprestij itu disifatkan sebagai peluang untuknya mengembangkan lagi sayap seni selepas ini.

“Ini merupakan debut saya di DFP dan pastinya satu penghargaan dapat melakukan persembahan di sini.

“Setiap artis mengimpikan beraksi di pentas DFP. Ini platform besar untuk kembangkan muzik saya,” ujar pelantun lagu W.H.U.T itu.

Senada dengan Aisha, Syafiq Abdilah menyifatkan undangan menjayakan persembahan di premis hebat itu bagai bulan jatuh ke riba.

Biarpun sebelum ini ada rasa takut setiap kali berada di atas pentas, penyanyi kelahiran Singapura itu yakin dapat mengawal keadaan dengan lebih baik.

“Pertama kali saya akan beraksi di pentas gah ini. Ia satu peluang besar dan berbeza daripada  apa yang pernah saya jayakan.

“Sudah semestinya saya sangat gemuruh, namun pada masa sama teruja untuk menghiburkan khalayak dengan seleksi hits Stevie Wonder.

“Meskipun sebelum ini saya ada ‘stage fright’, saya boleh mengawal situasi tersebut dengan lebih baik,” jelas Syafiq.

Tribute Stevie Wonder

Berkongsi pengalaman berkaitan lagu Stevie Wonder, selaku pengarah dengan 12 orang pemuzik, Young menceritakan kejadian lucu yang sering bermain di fikirannya setiap kali mendengar lagu pemilik nama sebenar Stevland Hardaway Morris itu.

“Ada satu kejadian lawak ketika menunggang skuter, saya dengar lagu Life Of Plant.

“Tiba-tiba saya terjatuh daripada skuter tersebut. Jadi, setiap kali mendengar lagu itu saya akan teringat kejadian kemalangan tersebut,” tuturnya sambil tertawa.

Sementara itu, sebagai peminat tegar Aisha percaya ramai pemuzik menjadikan muzik Stevie Wonder sebagai inspirasi untuk lebih ke hadapan.

Ramai artis di Malaysia atau luar negara mengagumi Stevie Wonder. Dia mampu mencipta ‘industri muzik’ di serata dunia.

“Saya peminat Stevie Wonder. Genre kami juga sama iaitu R&B dan jazz. Muzik Wonder memberikan inspirasi kepada saya untuk menjadi penyanyi dan penulis lagu,” jelasnya.

Tiket konsert The Music Of Stevie Wonder dijual pada harga RM189 (C Reserve), RM229 (B Reserve), RM269 (A Reserve), RM309 (Premium) dan RM349 (Meet & Greet) menerusi talian 03-23317007, e-mel [email protected] atau laman web www.dfp.com.my.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok