Terima bungkusan misteri, Aishah derita disihir

“Saya mimpi macam ada orang terkam dari belakang, nampak macam bayangan seorang lelaki.”

Itu perkongsian Penyanyi Datuk Aishah yang mendedahkan kerap mengalami mimpi menyeramkan selepas menerima bungkusan yang dihantar menerusi perkhidmata penghantaran barang (kurier) sekitar dua minggu lalu.

Jelas pemilik nama lengkap Wan Aishah Wan Ariffin itu, dirinya mula mengalami perubahan aneh selepas membawa masuk bungkusan tersebut ke dalam kawasan rumahnya.

“Benda itu dalam kotak nampak macam bungkusan bateri motor, nama penerima memang betul nama saya tapi saya yakin tiada pesan sebarang barang ketika itu.

“Saya ambil bawa masuk dalam rumah tapi saya mula dapat rasa seram sejak bungkusan tu ada dalam rumah

“Rasa macam ada orang tarik dari dalam perut, rasa macam mahu berguling-guling, pendek kata rasa macam nak ada sesuatu yang tidak kena dengan diri saya,” katanya kepada HibGlam selepas sidang akhbar All Star Gegar Vaganza  semalam.

Tambah penyanyi kelahiran Negeri Sembilan itu lagi, sejak menerima bungkusan tersebut, dia kerap mengalami mimpi ngeri yang menyebabkan kehidupan sehariannya turut terganggu.

“Nampak macam bayang seorang lelaki, wajahnya seakan pernah nampak tetapi tak kenal. Susah untuk saya terangkan tetapi begitulah hakikatnya.

“Pada masa itu, saya dah mula syak benda ini berlaku disebabkan bungkusan tersebut tapi pada masa sama tetap menafikan sebab macam pelik orang hantar benda bukan-bukan melalui kurier,” ujarnya.

Bagaimanapun, penggiat seni berusia 58 itu menzahirkan rasa syukur kerana tidak membuka bungkusan tersebut  sebaliknya meminta anak lelakinya untuk membuang ke tong sampah berdekatan.

Malah kata Aishah, sejak bungkusan tersebut dibuang, keadaannya beransur pulih dan tiada lagi mimpi ngeri.

“Mujurlah tak terdetik untuk buka bungkusan tersebut, saya minta anak lelaki saya buang dekat tong sampah. Seperti disangka keadaan menjadi semakin baik.

“Ada kesan sikit-sikit tapi tidaklah teruk seperti awal-awal dulu. ‘Benda’ itu menyebabkan saya jadi malas, sampai mahu bangun solat Subuh dan mengaji pun susah, agaknya panas melihat saya ingin beribadah,” katanya.

Tambah pelantun lagu Janji Manismu itu lagi, dia ada mendapatkan rawatan daripada seorang ustaz yang pakar dalam perbuatan Islam untuk membantu membersihkan sisa-sisa sihir yang mungkin masih berbaki di kawasan rumahnya.

“Saya pergi berubat dan mendapatkan rawatan dengan pengamal perubatan Islam. Memang betul, ada orang cuba menghantar sihir kepada saya. Siapakah individu tersebut, hanya Allah sahaja yang mengetahui, saya malas ambil tahu.

“Saya juga minta Ustaz tersebut bersihkan saki baki yang mungkin masih ada dekat rumah saya,” ujarnya lagi.

Terdahulu, Aishah pernah berkongsi mengenai sihir melalui penghantaran kurier menerusi Instagramnya sekitar dua minggu lalu namun tidak memperincikan dengan lebih lanjut. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok