PENYANYI, Shila Amzah akan terus menyokong suaminya yang juga pempengaruh media sosial, Ubai meluaskan lagi langkah dalam arena seni.
Perkara tersebut diluahkan pemilik nama asal Nurshahila Amir Amzah itu yang mengakui akan terus menyokong apa jua aktiviti suaminya untuk lebih berjaya.
Saya memang desak dia untuk kembangkan lagi sayapnya dalam membina karier.
“Untuk pergi jauh saya tidak mahu digelar penting diri kerana memaksa orang untuk ikut cakap saya.
“Apa dia boleh cari dalam karier, teruskan. Saya mahu tengok dia berjaya,” kata Shila kepada HibGlam usai selesai majlis akad nikahnya semalam.
Pada masa sama, Ubai turut memaklumkan, tidak menghalang kerjaya isteri sebagai penyanyi walaupun harus menjelajah ke luar negara.
Memikirkan kerjaya peribadi, Ubai atau nama lengkap Muhammad Ubaidillah Mohd. Zulkefli, 25, akui banyak perlu dipelajari untuk bergerak ke hadapan dalam kerjayanya.
“Ke mana dia mahu pergi, saya tidak akan halang dan persoalkan kerana dia seorang penyanyi.
Dia juga tidak pernah menghalang kerjaya saya. Terpulanglah, apa yang dia mahu lakukan, asalkan dia gembira.
“Saya memang dalam industri media, tiga tahun di belakang tabir. Banyak lagi yang perlu saya belajar,” ujar pempengaruh TikTok itu.
Semalam, tepat pukul 10.27 pagi, Shila selamat bergelar isteri kepada Ubai dengan sekali lafaz di Boathouse Ampang.
Sebelum ini, pasangan itu mengikat tali pertunangan pada 27 Mei lalu yang berlangsung secara tertutup.
Shila pernah mendirikan rumah tangga bersama Haris Idraki Elias pada April 2018, namun bercerai Februari 2022.
Hasil perkongsian hidup itu, Shila dikurniakan seorang anak lelaki bernama Seth Uwais. – HIBGLAM