SELEPAS Nabila Huda memberikan komen berbaur sarkastik terhadap aktres Nad Zainal, giliran pelakon Sharifah Sakinah pula membuat keputusan untuk tidak lagi mempunyai apa-apa-apa hubungan dengan wanita yang pernah menjadi kawan baiknya itu.
Menerusi hantaran yang dimuat naik Sakinah dalam Instagram miliknya, pelakon berusia 34 tahun itu berkongsi semula doa yang pernah ditujukan kepada Nad Zainal, semasa pelakon itu koma akibat mengalami pendarahan dalam paru-paru pada sekitar penghujung tahun lalu.
“Mari kita ketuk pintu yang sama, membawa amin paling serius seluruh dunia. Kepada kesayangan saya, Nanad (panggilan Nad Zainal), awak kuat, awak istimewa dan penyayang.
“Kami semua di sini mendoakan untuk awak dengan penuh harapan dan menunggu. Awak dalam perjuangan ketika kami semua teruskan berdoa,” ucap Sakinah ketika berdoa untuk Nad Zainal.
Bagaimanapun, Sakinah atau mesra disapa Kinah berpendapat sudah masanya dia memadam perkongsian doa tersebut dan berharap akan bertemu dengan pelakon tersebut di alam lain (akhirat), selepas hubungan persahabatan mereka ‘retak’.
“Dah boleh delete (padam) hantaran ini. Saya jumpa awak di alam lain (akhirat). Di situ tiada radar,” tulis Sakinah.
View this post on Instagram
Dalam hantaran itu juga, Sakinah turut meninggalkan kata-kata berbaur sinis untuk menjawab semula kata-kata Nad Zainal apabila menganggap pergaduhan dalam persahabatan isu remeh dan enggan mengambil kisah.
“Berkata-katalah dari dalam hati, letakkan kaki anda di bumi. Fikiran narsistik, kata-kata palsu dan penafian akan menjadi takdir anda,” katanya.
Isu bermasam muka antara Nad Zainal dan beberapa sahabatnya menjadi bualan selepas pelakon drama Takdir Yang Tertulis itu pulih daripada koma sebelum berkahwin dengan Ungku Ismail pada Januari lalu.
Terdahulu, pelakon Nabila Huda atau nama penuhnya Nabila Huda Suhaimi menuai perhatian ramai apabila meninggalkan komen menyatakan tidak mengenali Nad dalam sebuah hantaran Instagram memaparkan temu bual isteri Ungku Ismail itu bersama pihak media.
Nabila turut menunjukkan ‘bukti’ apabila akaun Instagram pelakon itu tidak tertera dalam senarai pengikutnya, seolah-olah untuk memberitahu dirinya telah disekat (block) oleh Nad Zainal. – HIBGLAM