Serabut bergaduh, Shila Amzah reda ibu bapa berpisah

Anda semua janganlah risaukan mak saya, doakan yang baik-baik. Sebab pada akhirnya orang nak bercerai ke, kahwin ke, itu semua jodoh.”

Demikian permintaan penyanyi Shila Amzah agar orang ramai tidak bimbang dengan keadaan ibunya yang diceraikan pada 2 Ogos lalu.

Malah, anak sulung pasangan Datuk ND Lala dan Fauziah Sarman itu mengakui enggan memaksa ibu bapanya terus kekal dalam perkahwinan jika perceraian mampu memberi kebahagiaan kepada mereka.

Kata pemilik nama sebenar Nurshahila Amir Amzah, dia menganggap jodoh setiap insan adalah ketentuan Allah SWT, sekali gus terpulang kepada orang tuanya untuk membuat pilihan hidup.

Kita sebagai anak takkan nak paksa mereka bersama, semua sudah besar. Suka hati mereka nak buat apa.

“Mereka nak cari kebahagiaan masing-masing,” kongsinya dalam siaran langsung di TikTok bersama suaminya, Ubai malam tadi.

Pasangan yang bernikah tiga hari selepas ibu bapanya bercerai itu menjawab pertanyaan pengikut pada sesi tersebut yang bertanyakan situasi terkini Fauziah dan ND Lala.

Menurut pelantun lagu Patah Seribu itu, sudah tentu perasaannya sedih berdepan kehancuran rumah tangga insan tersayang yang sudah memasuki tahun ke-34.

Namun jika perpisahan jalan terbaik, dia dan adik-beradiknya mendoakan yang terbaik selepas usaha menyelamatkan perkahwinan sudah dibuat.

Tipulah kalau anak-anak tak sedih, tetapi pada masa sama kita pun serabut mereka bergaduh.

“Lantaklah mereka mahu buat apa kalau setakat itu (jodoh), mereka sudah cuba,” luahnya lagi.

Semalam, Fauziah menerusi Instagram mengesahkan telah diceraikan suaminya pada 2 Ogos lalu.

Wanita berusia 55 tahun itu mengakui lega apabila kemelut dalam perkahwinan mereka berakhir biarpun perkara tersebut hanya dimaklumkan kepadanya menerusi WhatsApp.

Sekitar April lalu Fauziah memuat naik foto hitam putih seorang wanita bertudung bersama kapsyen ‘mengundang’ seolah-olah mengiyakan gosip mengenai seorang penyanyi dan pelakon popular era 80-an berkahwin lagi dengan wanita muda. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok